Mungkin Kisah Dongeng Leiceister City Terpalit Pada Iran Muncul Juara Piala Dunia 2018

Mungkin Kisah Dongeng Leiceister City Terpalit Pada Iran Muncul Juara Piala Dunia 2018

Pasukan Iran bakal bertemu Russia pada satu perlawanan persahabatan yang akan berlangsung pada 10 Oktober ini. (Gambar: beinsports.com)

Jika anda seorang peminat setia sukan bola sepak, pastinya anda sudah tahu bahawa tiada persaingan peringkat kelab yang akan diadakan pada minggu ini.

Kalender bola sepak pada waktu ini membuka ruang bagi persaingan antarabangsa melibatkan pasukan kebangsaan. Ini adalah bagi melengkapkan senarai pasukan yang bakal bersaingan pada Piala Dunia FIFA 2018 yang bakal berlangsung di Russia nanti.

Selain daripada beberapa perlawanan peringkat kelayakan, terdapat juga beberapa perlawanan persahabatan yang turut sama bakal diadakan.

Antara yang mencuri tumpuan adalah pertemuan pasukan tuan rumah Piala Dunia nanti, Russia, bertemu dengan Iran. Dua pasukan tersebut adalah pasukan terawal menempah tiket melayakkan diri ke kejohanan bola sepak paling berprestij itu.

Secara tradisinya, Iran bukanlah sebuah pasukan yang kuat di kancah persaingan bola sepak dunia. Malah, ramai yang beranggapan mereka hanya sebuah pasukan kerdil yang bakal menjadi pasukan 'belasahan' apabila persaingan Piala Dunia nanti bermula.

Namun, Rojak Daily Skop! ingin menyanggah pendapat sedemikian dan meramalkan mereka bakal membuka mata banyak pihak dengan persembahan mantap dan mana tahu, mungkin mereka juga bakal jadi juara baru Piala Dunia 2018.

KEBANGKITAN PASUKAN KERDIL

Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, dunia bola sepak dikejutkan dengan persembahan mantap daripada pasukan yang lazimnya dianggap kerdil.

Pasukan Leiceister City contohnya dianggap ramai peminat bola sepak sebagai pasukan belasahan yang bakal tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris. Sebaliknya, bagaikan sebuah kisah dongeng, mereka berjaya dinobatkan sebagai juara pada musim 2015-2016.

Pasukan Portugal pula, walaupun dibarisi pemain terbaik dunia ketika ini seperti Cristiano Ronaldo, tidak berada dalam senarai majoriti pengulas sukan untuk memenangi saingan Euro 2016. Bagaimanapun, mereka mengatasi segala rintangan dan mengalahkan tuan rumah, Perancis, untuk muncul juara kejohanan Eropah tersebut.

Dalam kancah liga Jerman pula, RB Leipzig adalah sebuah pasukan yang baru ditubuhkan lapan tahun lalu dan bermula di liga divisyen lima negara tersebut. Bagaimanpun, pada musim lepas mereka berjaya muncul naib juara saingan Bundesliga (liga utama Jerman) di belakang Bayern Munich.

Kini, pasukan Iran menjadi pasukan pertama selepas tuan rumah Russia layak ke Piala Dunia 2018. Mereka menempah tiket tersebut selepas muncul johan kumpulan kelayakan mengatasi pasukan handal lain seperti Korea Selatan dan China.

Pasukan kendalian bekas jurulatih Real Madrid dan Portugal, Carlos Queiroz ini dibarisi generasi baru pemain yang handal dan bertenaga yang tidak mustahil akan mengejutkan banyak pihak nanti. Meskipun agak mustahil untuk mereka muncul johan tetapi jangan terkejut jika mereka mampu melepasi peringkat kumpulan nanti.

Di sini Rojak Daily Skop! memberi tumpuan kepada beberapa pemain 'Team Melli' yang dijangka mencuri tumpuan apabila tiba saingan Piala Dunia nanti. Kesemua pemain yang tersenarai ini sedang bermain untuk kelab di liga-liga serata Eropah.

1. SARDAR AZMOUN

Azmoun merupakan penjaring kelima terbanyak sepanjang zaman buat pasukan Iran dengan 21 gol setakat ini.

Seorang pemain yang tidak perlu menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di Piala Dunia 2018 nanti adalah Sardar Azmoun. Penyerang sensasi yang digelar media British sebagai 'Messi Asia' ini sudahpun bermain di Liga Perdana Russia semenjak tahun 2013 lagi bersama pasukan FC Rostov dan kini Rubin Kazan.

Pada musim 2015-2016, Azmoun bukan sahaja membantu FC Rostov muncul naib juara liga tetapi turut muncul pemain terbaik kelab berkenaan. Kehebatannya juga tidak terbatas di peringkat tempatan sahaja.
Pada musim 2016-2017, dia berjaya menyerlahkan bakatnya pada kejohanan Liga Juara-Juara Eropah dengan menjaringkan gol menentang pasukan gergasi dunia bola sepak seperti Bayern Munich dari Jerman dan Atletico Madrid dari Sepanyol.

Walaupun baru berusia 22 tahun, Azmoun merupakan penjaring kelima terbanyak sepanjang zaman buat pasukan Iran dengan 21 gol setakat ini. Sungguhpun dia kini menabur khidmat bersama kelab Rubin Kazan di Russia, media melaporkan kehebatannya sudah menarik minat pasukan lain sekitar Eropah seperti Liverpool, Arsenal, Borussia Dortmund, Marseille, Valencia, dan Glasgow Celtic.

2. ALIREZA JAHANBAKHSH

Seorang lagi bintang muda yang sedang menimpa nama di Eropah adalah pemain sayap berusia 24 tahun, Alireza Jahanbakhsh. Antara pengiktirafan individu yang diperolehinya setakat ini adalah pemain terbaik Eretse Divisie (Liga Divisyen 2 Belanda) untuk musim 2014-2015, skuad pilihan Eredivisie (Liga Perdana Belanda) 2016-2017 dan tempat kedua anugerah pemain muda terbaik Eredivisie 2013-2014 di belakang bintang Belanda, Memphis Depay.

Khidmat Jahanbakhsh adalah penting buat pasukan AZ dalam mengharungi kempen Eredivisie kerana kelinchan dan kemahiran individu yang dimilikinya menggunakan kedua-dua belah kaki. Media turut melaporkan dia dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan lain di Eropah seperti Glasgow Celtic, Fenerbache, Burnley, Watford dan Bournemouth.

3. SAMAN GHODDOS

Ghoddos diberikan kewarganegaraan Iran dan memilih untuk bermain dengan pasukan tersebut.

Seorang pemain dengan kisah unik bagi Iran adalah Saman Ghoddos. Walaupun kedua ibu dan bapanya adalah warga Iran, Ghoddos lahir dan membesar di Sweden. Pada Januari lalu, dia membuat dua penampilan perlawanan persahabatan buat pasukan Sweden.

Tidak cukup dengan itu, ketika perlawanan menentang Slovakia, pemain yang boleh bermain di posisi penyerang ataupun sayap ini telah berjaya menjaringkan gol buat skuad Scandivia tersebut.

Bagaimanapun, pada 23 Ogos lalu, Ghoddos diberikan kewarganegaraan Iran dan dia memilih untuk bermain dengan pasukan tersebut. Dia dijangka membuat penampilan pertama bersama Iran pada perlawanan menentang Russia pada 10 Oktorber ini. Nampaknya Sweden yang telah melahirkan bintang ternama seperti Zlatan Ibrahimovic terpaksa gigit jari akibat kehilangan Ghoddos!

4. MOSOUD SHOJAEI

Pemain yang sudah lama berkhidmat bersama dengan pasukan Iran adalah pemain bahagian tengah, Masoud Shojaei. Berusia 33 tahun, Shojaei pernah berkelana selama enam tahun di salah satu liga paling sengit di dunia iaitu La Liga Sepanyol. Di antara tahun 2008 sehingga 2014, dia membuat 110 penampilan bersama pasukan Osasuna dan 31 penampilan pasukan Las Palmas.

Kini, Shojaei merupakan tonggak penting buat pasukan Panionios yang sedang berada pada tangga ketiga Liga Super Greece. Bagaimanapun, pada 10 Ogos lalu, pasukan Iran mengenakan penggantungan kepada Shojaei kerana mengikuti Panionios untuk menentang kelab Israel, Maccabi Tel Aviv FC. Dia juga tidak dipanggil untuk menyertai pasukan kebangsaan untuk menentang Russia pada minggu ini.

5. KARIM ANSARIFARD

Bekas rakan sepasukan Shojaei di Panionios adalah penyerang berusia 27 tahun, Karim Ansarifard. Pada Januari lalu, dia berpindah ke pasukan Olympiacos dan membantu mereka muncul  juara Liga Super Greece. Pemain tinggi lampai yang dikatakan mempunyap gaya permainan mirip lagenda Iran, Ali Daei, ini sememangnya diakui kehebatan bakatnya sejak sekian lama. Laman sesawang, Goal.com dan majalah World Soccer pernah menamakan Ansarifard sebagai 100 pemain muda terbaik dunia pada tahun 2012. Dia sudah membuat 54 penampilan bersama pasukan Iran dan menjaringkan 15 gol.

6. RAMIN REZAEIAN

Ramin Rezaeian berkebolehan bermain sebagai pemain sayap kerana memiliki kemahiran menggelecek, membuat hantaran lintang dan kepantasan tinggi.

Walaupun lebih dikenali sebagai pemain posisi bek kanan, Ramin Rezaeian juga berkebolehan bermain sebagai pemain sayap kerana memiliki kemahiran menggelecek, membuat hantaran lintang, dan kepantasan yang tinggi. Malah, dia dianggap tonggak penting bagi jurulatih Carlos Queiroz ketika kempen kelayakan Piala Dunia 2018 lalu.

Setelah muncul naib juara Liga Pro Iran bersama pasukan Persepolis, Rezaeian dipancing kelab Divisyen Satu Belgium, KV Oostende pada Julai lalu. Dia membuat penampilan pertamanya bersama dengan pasukan tersebut ketika perlawanan kelayakan Liga Europa UEFA menentang pasukan handalan dari Perancis, Olympique de Marseille. Malangnya, Oostende tewas dengan keputusan 2-4.

7. EHSAN HAJI SAFI

Pemain ketiga Iran yang sedang bermain di Liga Super Greece adalah pemain serba boleh, Ehsan Haji Safi. Berusia 27 tahun, dia kini berkhidmat untuk pasukan Panionios boleh bermain pelbagai posisi seperti bek kiri, sayap kiri dan pemain tengah bertahan. Pada tahun 2009, laman Goal.com menyenaraikannya sebagai pemain muda Asia dengan masa depan paling cerah.

Pemain ini sudah mewakil pasukan Iran sejak tahun 2008 iaitu ketika dia baru berusia 18 tahun. Perlawanan sulungnya adalah aksi persahabatan menentang pasukan Zambia di mana dia mencipta dua gol. Perlawanan tersebut berakhir dengan kemenangan buat Iran dengan keputusan 3-2.

Sehingga kini, dia sudah membuat 86 penampilan antarabangsa dan menjaringkan enam gol. Statistik yang agak bagus bagi seorang pemain posisi pertahanan.

8. MILAD MOHAMMADI

Seorang lagi pemain yang tidak perlu menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca pada Piala Dunia 2018 nanti adalah Milad Mohammadi. Pemain pertahanan atau sayap kiri berusia 24 tahun ini sudah memasuki musim kedua bermain di Liga Super Russia bersama dengan pasukan FC Akhmat Grozny yang sebelum ini dikenali dengan nama FC Terek Grozny.

Dianggap sebagai pemain penting bagi kelab Russia tersebut, Mohammadi disenaraikan sebagai pemain Asia bawah 23 tahun yang perlu diberi perhatian dunia. Queiroz sudah menamakan Mohammadi sebanyak 12 kali buat pasukan kebangsaan Iran dan menggangapnya sebagai masa depan bola sepak negara tersebut.
 



Sumber Mungkin Kisah Dongeng Leiceister City Terpalit Pada Iran Muncul Juara Piala Dunia 2018

Post a Comment

Previous Post Next Post