Pelabur lari, tambat ringgit bukan cara Najib

Najib berkata Malaysia perlu beralih ke fasa seterusnya untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi. — Foto Reuters Najib berkata Malaysia perlu beralih ke fasa seterusnya untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi. — Foto Reuters KUALA LUMPUR, 24 Okt — Prestasi ringgit lebih baik daripada mata wang banyak negara pengeksport komoditi besar lain meskipun ada yang memberikan tanggapan mata wang tempatan lemah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam kenyataannya yang dikeluarkan hari ini bertajuk ‘Visi Ekonomi Saya Untuk Malaysia’, beliau berkata sejajar dengan prestasi ekonomi negara yang terus baik, ringgit akan turut mengukuh pada kadar pasaran yang sesuai.

“Benar, nilai ringgit  menurun di tengah-tengah pergolakan global dan ketidakpastian sejak 2014, tetapi terdapat juga aspek positif daripadanya apabila eksport dan pelancongan kita meningkat tinggi,” kata beliau.

Najib berkata beliau enggan mematuhi cara pemimpin terdahulu kerana yakin bahawa Malaysia memerlukan visi baru, jauh dari cara lama yang telah membawa kepada masalah legasi yang serius yang negara hadapi sebelum ini serta membawa kesan buruk terhadap kebajikan rakyat.

“Menambat ringgit dan melaksanakan semula kawalan modal adalah perkara paling mudah untuk saya lakukan.

“Namun, setelah mengalami kekurangan pelaburan selepas mengenakan kawalan modal dan menambat ringgit dari tahun 1998 hingga 2005, keputusan dibuat untuk tidak melakukannya lagi,” kata beliau.

Beliau berkata inisiatif baru dan beberapa pengumuman penting akan disampaikan dalam Bajet 2018 untuk manfaat semua rakyat Malaysia.

“Bajet ini akan terus dipacu oleh matlamat saya untuk memperbetulkan masalah lalu dan menjadikan Malaysia lebih kuat, lebih berdaya saing di dalam dan di luar negara.

“Untuk mewujudkan negara yang dapat memberi perlindungan kepada mereka yang lemah dan bersifat adil kepada semua: Malaysia di mana tiada sesiapa akan ketinggalan,” kata beliau.

Najib berkata Malaysia perlu beralih ke fasa seterusnya untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi di mana taraf hidup dan kualiti kehidupan rakyat Malaysia menjadi keutamaan.

“Ini adalah wawasan saya untuk Malaysia – perjuangan yang lebih besar daripada diri saya sendiri.

“Malaysia sering kali membuktikan ia mampu mencapai prestasi yang lebih baik daripada jangkaan dan saya yakin dan percaya akan potensi besar kita sebagai sebuah negara,” katanya.

Beliau berkata potensi ini telah diiktiraf oleh banyak institusi antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.

“Kesemua ini adalah hasil daripada perancangan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan selepas saya mengambil alih jawatan pada tahun 2009.

“Keputusan sukar yang kita ambil tidak selalunya popular – tetapi adalah perlu, dan keputusan-keputusan ini telah melindungi Malaysia daripada kesan teruk kemelesetan dan pergolakan yang menimpa ekonomi global.

“Kita telah bertindak sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, sentiasa berusaha melindungi rakyat dan menjaga kebajikan serta keselamatan mereka,” kata Najib. — Bernama



Sumber Pelabur lari, tambat ringgit bukan cara Najib

Post a Comment

Previous Post Next Post