Pemuda ini pernah tular kerana membuat kejutan pada hari ulang tahun tunangnya dengan menyewa sebuah limosin putih dan menghadiahkan kereta Honda merah.
Episod cinta pasangan Hafiz Mahamad, 24, dan Nursyafiqah Aina Abdul Wahab, 23, sentiasa menjadi tumpuan, sambil menantikan apakah kejutan seterusnya.
Bagaimanapun, Hafiz pada Selasa pula dikejutkan dengan asakan netizen berhubung sekeping gambar usahawan kosmetik terkenal, Nur Sajat bersama dengan seorang lelaki.
Ramai menyangka lelaki berbaju putih di dalam gambar tersebut adalah dirinya yang dikatakan mempunyai wajah seiras, selain berbadan sasa dan berasal dari negeri yang sama.
Penjelasan Hafiz di akaun Instagramnya mengenai kekeliruan orang ramai.
“Dekat Twitter, ramai cakap ni saya. Ah berat bukan saya ni. Jangan buat hal, majlis nak dekat…,” kata Hafiz memberi penjelasan di akaun Instagramnya sambil merujuk dia bakal bergelar Raja Sehari tidak lama lagi.
Lelaki yang disangka netizen sebagai Hafiz di dalam gambar tersebut sebenarnya adalah kenalan rapat Sajat, Mohd Tishrin Mohd Adnan atau lebih dikenali sebagai Coach Yin.
Hafiz (kiri) disangka netizen sebagai Coach Yin (kanan) di dalam sekeping gambar bersama Sajat.
Bercakap kepada mStar Online, Hafiz berkata, pemberitahuan itu dibuat bagi memperjelaskan mengenai kekeliruan orang ramai yang menyangka dirinya adalah Coach Yin.
“Mula-mula bila ramai yang tanya tu memang saya terkejut, sebab muka pun lain dan dikaitkan pula dengan Sajat.
“Pada saya, persamaan cuma pada cermin mata dan penampilan, tapi bagi orang lain sekali imbas mereka ingatkan itu saya. Sebenarnya, tak sama pun muka,” katanya.
Hafiz yang merupakan usahawan memberitahu bakal menamatkan zaman bujangnya bersama Nursyafiqah pada 24 November depan.
Ketika ini, katanya, lebih 80 peratus persiapan telah dilakukan untuk majlis perkahwinan yang bakal berlangsung di Johor Bahru, disusuli dengan majlis kesyukuran di Kota Bharu.
Dalam pada itu, Hafiz berkata, penjelasannya berhubung gambar tersebut juga bukan mahu mengeruhkan lagi keadaan, tetapi untuk memberi kesedaran kepada netizen supaya lebih berfikiran positif.
“Orang sekarang lebih mudah melihat atau menilai seseorang secara negatif. Apa saja yang orang buat semua tak betul. Mungkin setiap orang ada alasannya tersendiri. Macam saya dan tunang dulu pernah kena kecam.
“Orang ramai seharusnya fikir secara positif dan berusaha untuk memajukan diri. Walaupun Sajat dan Coach Yin sering dikritik tetapi mereka berusaha untuk maju dalam bisnes masing-masing.
“Tidak salah untuk mengkritik, tetapi biarlah menegur dengan cara betul, tidak menghina atau mengaibkan,” katanya.
Sumber: Mstar
Sumber Pemuda pernah viral sewa limosin sambut tunang nafi rapat dengan Nur Sajat