Penduduk bimbang 'banjir termenung' tidak surut minta bantuan agensi berkaitan

PARIT BUNTAR: Lebih tiga minggu dilanda 'banjir termenung', lebih 20 penduduk Taman Aman Sejahtera, di sini terkilan dan meminta pihak berwajib menyelesaikan segera masalah yang menjejaskan kehidupan seharian mereka.

Masalah air bertakung setinggi 0.3 meter itu bukan sahaja memenuhi perkarangan rumah penduduk sejak tiga minggu lalu, malah turut menjejaskan sistem kumbahan sehingga menyebabkan akses jalan utama ke taman perumahan itu digenangi air kumbahan.

Mangsa banjir, Rosmaliza Hamid, 46, berkata masalah air bertakung atau lebih dikenali 'banjir termenung' yang memenuhi perkarangan lebih 20 rumah penduduk taman perumahan itu bermula sejak 13 Sept lalu.

"Bayangkan, banyak rumah penduduk yang mengalami masalah sistem kumbahan disebabkan ia dipenuhi air bertakung ekoran kejadian banjir tiga minggu lalu dan tidak surut sehingga kini.

"Sehingga kini, air kesan banjir tiga minggu lalu masih memenuhi laluan akses utama Taman Aman Sejahtera dan menyebabkan perkarangan lebih sepuluh rumah yang paras rendah digenangi air bah.

"Isu ini sudah dilaporkan kepada kesemua agensi kerajaan berkaitan seminggu lalu, melalui persatuan penduduk kami, namun sehingga kini tiada satu penyelesaian segera dilaksanakan," katanya kepada media ketika ditemui di kediamannya di sini pada Isnin.

Rosmaliza berkata selain kesukaran menjalani kehidupan seharian, pihaknya turut bimbang dengan ancaman wabak penyakit seperti denggi memandangkan 'banjir termenung' yang memenuhi kawasan rumahnya turut bercampur dengan air kumbahan.

Menurutnya, pihaknya juga terpaksa memanggil Pejabat Kesihatan Daerah Kerian datang untuk menjalankan aktiviti semburan asap bagi membasmi penularan pembiakan jentik-jentik di kawasan air bertakung.

Anggota Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Aman Sejahtera, Izhar Idris, 42, berkata pihaknya masih bingung mengenai punca sebenar 'banjir termenung' itu berlaku di kawasan taman perumahan mereka.

"Namun, sejak pelaksanaan projek pembinaan jambatan baharu di Simpang Lima, di sini, barulah kejadian teruk sebegini berlaku," katanya.

Bagi Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Aman Sejahtera, Mohd Ridzuan Mohd Arshad, 39, pula, berikutan masalah 'banjir termenung' tidak kunjung surut sejak tiga minggu lalu, satu mesyuarat khas diadakan pihaknya bagi mencari penyelesaian terbaik.

"Hasil perbincangan, kami bersepakat untuk menyalurkan aduan rasmi kepada beberapa agensi kerajaan berkaitan melalui surat bertarikh 25 Sept lalu. Tujuan aduan dikemukakan bukan untuk mencari salah mana-mana pihak, namun paling penting masalah penduduk dapat diselesaikan segera," katanya.

- BERNAMA



Sumber Penduduk bimbang 'banjir termenung' tidak surut minta bantuan agensi berkaitan

Post a Comment

Previous Post Next Post