Saham KL lemah akhiri sesi pagi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia terus menyaksikan sentimen lemah setakat tengah hari ini susulan dagangan berhati-hati akibat kekurangan peserta pasaran yang masih menunggu petunjuk baharu serta mengharapkan insentif lebih menarik dalam Bajet 2018 yang akan dibentangkan tidak lama lagi, kata seorang peniaga.

Pada jam 12.30 tengah hari, petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.05 mata kepada 1,753.32, selepas bergerak antara 1,751.95 dan 1,755.43 pada sepanjang sesi dagangan pagi.

Indeks itu susut 0.93 mata kepada 1,753.44 berbanding 1,754.37 sewaktu ditutup pada Isnin.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 412 berbanding 287 dengan 398 kaunter tidak berubah, 747 tidak didagangkan manakala 19 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.58 bilion saham bernilai RM878.30 juta.

Seorang peniaga berkata, walaupun bursa Asia mencatat aliran peningkatan kerana dipengaruhi perkembangan di Amerika Syarikat dan China, namun prestasi Bursa Malaysia susut sedikit dalam dagangan lengang menjelang cuti umum bersempena Deepavali, esok.

"Mungkin juga penggiat tempatan terus berada di luar pasaran dan mengambil sikap tunggu dan lihat memandangkan pengumuman Bajet 2018 itu yang semakin hampir," katanya.

Beliau berkata, kalangan pelabur juga berharap agar Bajet 2018 itu turut menyenaraikan lebih banyak pendekatan untuk melonjakkan ekonomi tempatan berikutan pemulihan harga minyak mentah dunia serta kenaikan nilai ringgit.

Ini, katanya, akan menarik lebih banyak dana tempatan mahu pun asing ke dalam bursa tempatan.

Sementara itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank tidak berubah pada RM9.46, Tenaga menokok empat sen kepada RM14.30, Public Bank menambah dua sen kepada RM20.48 manakala Sime Darby rugi satu sen kepada RM9.07.

Bagi saham aktif, PUC naik setengah sen kepada 16.5 sen, Palette naik tiga sen kepada 39.5 sen, MNC tidak berubah pada 10 sen dan Netx Holding pula turun setengah sen kepada 5.5 sen.

Indeks FBM Emas pula merosot 10.06 mata kepada 12,584.43, Indeks FBMT 100 susut 8.57 mata kepada 12,232.02 manakala Indeks FBM Emas Shariah turun 1.20 mata kepada 12,901.03.

FBM 70 pula turun 15.28 mata kepada 15,328.56 manakala FBM Ace menokok 50.88 mata kepada 7,026.53.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 19.36 mata kepada 7,956.23, Indeks Kewangan turun 52.05 mata kepada 16,429.22 dan Indeks Perusahaan berkurangan 3.82 mata kepada 3,225.41. - BERNAMA



Sumber Saham KL lemah akhiri sesi pagi

Post a Comment

Previous Post Next Post