The Second Amendment
“A well regulated Militia, being necessary to the security of a free state, the right of the people to keep and bear Arms, shall not be infringed.”
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan insiden tembakan rambang di Las Vegas, Amerika Syarikat. Walaupun sebenarnya insiden tembakan rambang ini adalah benda yang kerap berlaku di negara Uncle Sam, tetapi kejadian di Las Vegas ini merupakan yang terburuk dalam sejarah kerana ianya mengorbankan 59 jiwa (termasuk si penembak) dan mencederakan 489 individu lain.
Ada di antara kita sukar memahami kenapa negara terkuat di muka bumi ini menghalalkan rakyatnya untuk memiliki dan memikul senjata api tanpa larangan yang ketat. Walaupun selepas pelbagai insiden tembakan rambang yang berlaku, pemerintah AS masih tidak mempunyai upaya untuk mengharamkan senjata api kerana ianya dilihat bertentangan dengan perlembagaan negara itu.
Second Amendment (seperti yang di atas) merupakan sebahagian dari United States Constitution, atau Perlembagaan Amerika Syarikat. Dan pindaan kedua ini merupakan satu ayat sakral yang menjadi pegangan kepada sebahagian rakyat AS dalam menuntut hak mereka untuk memiliki dan memikul senjata api. Mengharamkan senjata api dilihat sebagai satu pengkhianatan ke atas perlembagaan negara dan asas-asas kewujudan negara AS itu sendiri. Dan atas sebab adanya peruntukan sebegini di dalam perlembagaan yang telah membuatkan sebahagian rakyat AS terus memiliki dan memikul senjata, termasuklah Stephen Paddock yang menembak rambang di Las Vegas itu.
Kenapa adanya Second Amendment? Kenapa hak memiliki dan memikul senjata api diberikan pada rakyat AS? Kenapa rakyat Malaysia tidak diberikan hak sebegini?
Untuk memahami asal termaktubnya Second Amendment, kita perlu memahami sejarah AS itu sendiri.
AS asalnya adalah sebuah koloni Britain. Ada 13 koloni, yang kemudiannya menuntut kemerdekaan dari Britain hingga tercetusnya Perang Revolusi Amerika pada tahun 1775. Lebih lapan tahun kemudian, 13 koloni yang tadi berjaya mengalahkan Britain (yang merupakan sebuah empayar besar) berkat kerjasama antara Continental Army (tentera AS), sekutu Perancis dan paling terutama ratusan ribu militia yang bangkit menentang Britain.
Ya, salah satu faktor kejayaan AS adalah militia, atau dikenali dengan panggilan Minuteman kerana mereka boleh dipanggil pergi bertempur dalam tempoh seminit. Militia ini terdiri dari kolonis yang memiliki dan memikul senjata api peribadi, yang asalnya adalah petani atau penternak. Militia ini menjadi duri dalam daging kepada agenda perang Britain, kerana walaupun mereka tidak terlatih seperti tentera biasa tetapi jumlah yang besar serta kemahiran tempatan memberikan militia ini kelebihan di medan tempur. Usaha Britain untuk merampas dan melucutkan senjata dari kolonis kebanyakan berkesudahan dengan lebih ramai kolonis bangkit mengangkat senjata dan menyertai gerakan militia.
Setelah perang tamat dan di tahun-tahun awal wujudnya negara AS, pihak kerajaan melihat peri pentingnya organisasi militia dalam melindungi kemerdekaan negara yang masih muda dan terdedah pada ancaman empayar-empayar Eropah atau penduduk natif benua Amerika (kaum Indian). Pemerintah juga sedar dan belajar dari usaha Britain sebelumnya yang mahu melucutkan senjata dari kolonis adalah satu bentuk tindakan penindasan, dan sebolehnya tidak mahu dilihat melakukan perkara yang serupa ke atas rakyat sendiri. Malahan pemerintah AS sendiri mengambil inspirasi dari English Bill of Rights of 1689 yang memberikan hak kepada penganut Protestan memiliki senjata untuk pertahanan diri (lanjutan dari penindasan oleh Raja James II yang Katolik).
Maka pada 15 September 1791, Second Amendment diguna pakai di dalam perlembagaan AS. Ia adalah hak individu yang dilindungi oleh perlembagaan negara. Tidak jauh berbeza dengan hak yang ada dalam Perkara 8, Perkara 11, Perkara 152 atau Perkara 153 dalam Perlembagaan Malaysia kita. Melucutkan hak memiliki dan memikul senjata api dalam Second Amendment adalah sama seperti melucutkan hak Islam sebagai Agama Persekutuan dalam Perkara 11. Begitulah sakral dan beratnya hak yang termaktub ini.
Ringkasnya, AS menganggap hak memiliki dan memikul senjata api sebagai satu jaminan terhadap kebebasan individu dan keselamatan negara. Bagaimana mereka boleh menerima pakai konsep sebegini adalah berpunca dari sejarah lahirnya AS, bermula dengan kolonis yang lazimnya memiliki senjata api peribadi hinggalah kepada peranan militia dalam menewaskan Britain.
Kenapa pula rakyat Malaysia tidak diberikan hak sebegini?
Undang-undang dan penalti berkenaan pemilikan dan penggunaan senjata api di Malaysia sebenarnya adalah antara yang terberat di dunia. Penalti kerana melepaskan tembakan daripada sesuatu senjata api pada melakukan sesuatu kesalahan berjadual? Hukuman mati walaupun tiada siapa pun yang cedera. Penalti bagi rakan sejenayah dalam hal melepaskan tembakan senjata api? Hukuman mati juga, walaupun tiada yang cedera. Penalti kerana berkawan dengan orang yang membawa senjata api? Hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan tidak kurang dari enam kali, padahal kawan je pun. Ada pistol tak ada permit? Juga 14 tahun penjara dan enam sebatan. Buat pistol atau peluru tanpa lesen? Hukuman mati.
Kenapa sampai begini ketatnya hal pemilikan senjata api di Malaysia? Sekali lagi seperti AS, kita perlu melihat kepada sejarah negara Malaysia untuk faham kenapa kita tidak diberikan hak memiliki dan memikul senjata api.
Kita pada suatu masa dahulu pernah melalui Darurat. Negara diancam komunis, yang dilengkapi senjata api telah mencetuskan perang berlanjutan kepada pihak pemerintah. Dan ketika berlakunya Darurat ini hampir setiap individu diperiksa melalui sekatan jalan atau penggeledahan rumah untuk memastikan mereka tidak mempunyai senjata api atau peluru, atau sebaliknya individu tersebut akan dituduh sebagai komunis atau tali barut komunis. Dan sejak dari itu Malaysia kekal antara negara yang paling ketat dalam undang-undang senjata api kerana ianya pernah dan masih dilihat sebagai ancaman terhadap keselamatan negara.
Jadi itu beza AS dengan Malaysia. Dimana kita melihat senjata api sebagai ancaman terhadap keselamatan negara, mereka pula melihat senjata api sebagai jaminan untuk keselamatan negara. Lebih ramai rakyat AS yang memiliki senjata api, lebih baik bagi mereka.
Sebab itulah agaknya Britain tidak pernah menjajah AS kembali, atau Kanada dan Mexico tidak pernah berperang dengan AS sejak kali terakhir pada 1812 dan 1848. Dan bayangkan kalau Kesatuan Soviet menjajah AS ketika Perang Dingin, senario seperti dalam filem Red Dawn (1984) akan benar-benar berlaku dan menghantui Soviet selamanya.
Tetapi ada lompong yang besar dalam Second Amendment dan hak memiliki dan memikul senjata api yang merupakan sakral untuk AS. Lompong itu adalah masa.
Second Amendment diguna pakai pada tahun 1791, iaitu 226 tahun yang lampau. Model 1795 Musket, senjata sekitar zaman itu yang digunakan oleh tentera AS adalah selaras senapang musket yang boleh melepaskan dua atau tiga tembakan setiap minit dengan jarak efektif antara 50 hingga 75 ela. Cukup untuk pertahanan diri seorang petani atau penternak di kawasan pedalaman AS di zaman itu, namun tidak cukup untuk kau menembak rambang tak tentu hala.
Tetapi senjata yang digunakan oleh Stephen Paddock di Las Vegas, antaranya Colt AR-15 adalah selaras raifal semi-automatik dengan magazin 5 hingga 100 peluru dan jarak efektif 600 ela. Dipasang dengan alat ‘bump fire stock’, ia mempunyai kuasa tembakan seperti raifal automatik, sekali picu ditarik dan senjata akan memuntahkan peluru sehingga magazin menjadi kosong. Lebih dari cukup untuk pertahanan diri dan menembak rambang tak tentu hala.
Kesimpulannya, perkara yang 226 tahun dahulu sebenarnya tidak lagi sesuai di masa kini. Senjata api sudah berevolusi, menjadi semakin efisien dan merbahaya. Kau bayangkanlah 226 tahun akan datang senjata api mungkin dah jadi macam ‘phaser’ yang Captain James T. Kirk guna dalam Star Trek.
Tapi itulah, macam aku sebut Second Amendment ni sakral. Dan untuk tempoh terdekat ini nampaknya senjata api akan kekal menjadi hak asasi setiap rakyat AS untuk memiliki dan memikul sebagai tanda kebebasan individu di sebuah negara demokrasi.
Muhammad Najib
Sumber The Second Amendment – Hak Rakyat US Memiliki Senjata Api