Foto: YouTube Athisha Khan, Syazlin Zainal dan maxman.tv
Kini anda tak perlu bersusah payah untuk jadi terkenal. Hanya berbekalkan beberapa video yang boleh menarik perhatian orang ramai, muat naik di laman sosial media atau platform YouTube, pasti ada mata-mata yang memerhatikan video anda sehingga menjadi tular.
Apakah video-video yang selalu dicari netizen untuk tujuan hiburan, rujukan dan mengisi waktu lapang mereka? Kami berikan lapan idea untuk video anda jadi tular dan anda boleh jadi terkenal.
1. Video tutorial
Tidak kira apa juga benda yang anda mahu buat, video tutorial sering mendapat perhatian netizen. Tutorial solekan, tutorial memakai tudung ataupun cara-cara untuk memasak makanan kegemaran anda, video seperti ini sering menjadi rujukan orang ramai untuk diaplikasikan dalam kehidupan harian mereka.
2. Dokumentari pendek
Video seperti ini bersifat informatif dan amat sesuai buat anda yang kaki kembara. Dengan durasi kurang dari 15 minit dan mengisian yang tidak terlalu meleret, video anda akan lebih menarik jika ditambah muzik latar dan juga info-info penting. Tapi pastikan video anda tidak bosan untuk mengelakkan orang berhenti menonton pada minit pertama.
3. Video prank
Mungkin ada diantara anda yang sering mengusik teman-teman dengan idea prank yang gila-gila. Video seperti ini paling senang mendapat perhatian umum dan ia juga boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja. Asalkan idea anda menarik, prank anda mengena dan mangsa terperdaya, kami yang menonton akan terhibur.
4. Video wawancara
Video berbentuk perbincangan memerlukan lebih dari seorang untuk dilakukan. Dengan orang yang pandai bercakap, topik yang menarik serta hujah perbincangan yang relevan, ia boleh membuatkan sesiapa sahaja menonton video wawancara anda. Mana tahu dari video anda, ada orang yang memperoleh sumber ataupun informasi baru yang sedang mereka cari.
5. Video karaoke/lagu cover
Pastinya untuk membuat video karaoke ataupun lagu cover, anda perlu ada suara yang sedap. Video seperti ini sederhana dan tidak memerlukan set yang meriah. Untuk tambah tontonan ramai, anda boleh pamerkan kemahiran bermain gitar dan juga memilih lagu-lagu yang sedang popular di corong radio untuk dipersembahkan.
6. Video majlis/acara
Apa jua acara seperti majlis perkahwinan, konsert, majlis anugerah dan sebagainya mudah menarik perhatian ramai. Tambahan pula jika diihadiri oleh orang popular, jangan lupa rekod video guna telefon pintar anda kemudian muat naik di laman sosial.
7. Vlog (Video blog)
Vlog atau video log menjadi pilihan ramai millennial untuk berkongsi kehidupan harian mereka. Tidak kira apa juga aktiviti anda dari pagi sehingga malam, muat naik di laman sosial dan tunggu reaksi dari penonton. Namun, vlog ini hanya sesuai untuk anda yang berkeyakinan tinggi dan tidak gentar dengan sebarang kecaman netizen.
8. Video POV (point of view)
Video jenis ini memerlukan kepakaran dan kemahiran untuk anda mengambil shot dan juga suntingan terbaik. Hasilnya, video ini ibarat mata anda yang luas berjalan melihat alam sekeliling. Anda hanya perlu memegang kamera, telefon pintar ataupun Go Pro dan jalan. Gunakan suara dan muzik latar sebagai penyeri.
Sumber 8 Idea Untuk Video Jadi Tular - Idea Nombor 3 Boleh Dilakukan Oleh Sesiapa Sahaja