Alumni Bersama Artis Popular Raikan Sambutan 2 Dekad FiTA

Alumni Bersama Artis Popular Raikan Sambutan 2 Dekad FiTA

Dr. A. Razak Mohaideen (empat dari kiri) bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Datuk Dr Abdullah Mohamad Said (empat dari kanan) serta barisan artis yang akan menjayakan Konsert Emoji pada 16 dan 17 Disember ini. (Gambar: Rojak Daily Skop!)

Potensi graduan tidak memenuhi kehendak industri pekerjaan sering menjadi isu yang diperkatakan kebanyakan majikan. Paling mudah, graduan tidak fasih dan yakin ketika berbahasa Inggeris dalam sesi temuduga boleh menyebabkan dia gagal untuk mendapat pekerjaan.

Lebih parah, majikan atau orang ramai menemplak institusi pengajian yang ditimba graduan itu sendiri yang dianggap turut gagal dalam melatih pelajar mereka berketerampilan dan bersedia untuk menempuh alam pekerjaan. Siapa yang harus dipersalahkan sama ada graduan, pihak universiti atau sistem pendidikan kita sendiri?

Bagaimanapun, Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi Mara (UiTM) antara pusat pengajian terbaik di negara ini yang menitikberatkan aspek persediaan pelajar sebaik menjadi graduan dan memulakan pekerjaan.

LATIHAN INDUSTRI SEIRING

Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) buat julung kalinya menganjurkan acara terbesar untuk meraikan pelajar dan alumni mereka.

Dalam kalangan penggiat seni dan syarikat produksi, mereka menyedari kewujudan fakulti ini sejak dua dekad lalu memberi kelebihan dalam melahirkan graduan yang bukan saja cemerlang dalam bidang akademik tetapi paling penting, berkebolehan untuk bekerja dalam pelbagai bidang industri yang ditawarkan.

Dekan FiTA, Profesor Datuk Dr. A. Razak Mohaideen berkata, penubuhan fakulti ini sejak 20 tahun lalu yang sebelum ini dikenali sebagai Fakulti Seni Persembahaan kemudian ditukar kepada Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik terus berkembang mendidik ramai pelajar menerusi kewujudan FiTA.

"Kami bermula dengan 45 pelajar pada tahun 1998 dan berkembang sehingga 1,904 pelajar ketika ini, FiTA juga memperkenalkan 15 program baru yang mengikut kehendak dan permintaan pasaran. 

"Lebih membanggakan, FiTA yang merupakan fakulti seni terbesar di Asia Tenggara yang juga fakulti pertama sebagai perintis program pengajian di universiti yang menekankan aspek pengajian dua tahun di universiti manakala setahun bersama industri.

"Ini bermakna, pelajar bukan hanya mencari pekerjaan semata-mata selepas tamat pengajian tetapi memahami industri pekerjaan itu sendiri," katanya pada sidang media Konsert Emoji di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

SAMBUTAN GEMILANG

Gandingan artis popular menjadi tarikan pada Konsert Emoji yang akan berlangsung pada 16 dan 17 Disember ini.

Sebagai meraikan ulang tahun ke-20 FiTA pada tahun ini, fakulti ini turut menganjurkan acara sambutan dikenali Minggu KaryaOne Bersama Alumni 2017 yang akan berlangsung dari di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam, Selangor bermula 12 sehingga 17 Disember nanti.

Dr. A. Razak berkata, acara ini diadakan sebagai meraikan dan menilai hasil kerja pelajar fakulti ini termasuk menjemput artis yang mempunyai nama besar dalam industri hiburan tanah air untuk bersama meraikannya.

Penyanyi terkenal, Anuar Zain bersama kumpulan KRU, Faizal Tahir, Akim & The Majistret dan Usop Mentor Millenia akan muncul dalam salah satu program dalam acara selama seminggu ini iaitu Konsert Emoji pada 16 dan 17 Disember ini.

Seramai 3,700 penonton dijangka memenuhi Konsert Emoji pada setiap malam untuk persembahan selama dua hari.

Ketua Pengarah Minggu KaryaONE 2017 yang juga pengarah teater terkenal, Norzizi Zulkifli berkata, Minggu KaryaONE Bersama Alumni 2017 menyediakan pelbagai acara berbentuk ilmiah dan artrepreneur.

"Ia akan melibatkan pelajar dan dibantu oleh pensyarah dan seluruh kakitangan fakulti ini. Antara program- program yang bakal berlangsung adalah FiTA KaryaOne Awards, Malam Promosi Filem Badang, Wacana Seni, Animation Kingdom, Pameran Fotografi Nostalgia FiTA, Tayangan Filem Pendek, dan Mini Carnival.

“Malam anugerah iaitu FiTA KaryaOne Awards pula adalah acara kemuncak yang dinanti-nantikan di mana hasil kerja para pelajar FiTA akan dipertandingkan. Karya akademik kerja mereka akan dinilai dan diberikan penghargaan sebagai satu suntikan semangat untuk menghasilkan karya akademik yang lebih baik dan berkualiti,” katanya.

Acara ini juga menyaksikan kerjasama FiTA bersama Rojak Daily Skop! sebagai rakan media rasmi. Bagi acara persembahan Konsert Emoji selama dua malam, ia dijangka dipenuhi 3,700 penonton pada setiap malam.

Tiket berharga dari RM50, RM100, RM200, RM300, RM400 dan RM500 dijual pada penonton dan maklumat lanjut boleh menghubungi di talian 014-6137001, 011-62212193 atau 010-8318328 dan melayari media sosial, Konsert Emoji (Facebook) dan konsertemoji2017 (Instagram).
 



Sumber Alumni Bersama Artis Popular Raikan Sambutan 2 Dekad FiTA

Post a Comment

Previous Post Next Post