Paras air mula meningkat hampir keseluruhan kawasan di negeri ini awal pagi ini selepas hujan lebat berserta ribut dan angin kencang berterusan melanda dalam tempoh hampir 24 jam sejak pagi semalam.

Ribut kuat dan angin kencang tengah malam tadi juga menin­g­galkan kesan kemusnahan yang dahsyat selepas puluhan kejadian pokok tumbang, tanah runtuh dan kemusnahan harta benda, menyebabkan sebahagian besar kawasan di negeri ini lumpuh.

Perkhidmatan pengangkutan awam juga dilaporkan terjejas dengan sebuah feri ditolak arus deras sehingga melanggar jeti di Terminal Raja Uda, Butterworth, manakala perkhidmatan bas henti-henti Rapid Penang ditangguhkan dua hari berturut-turut.

Operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pula meskipun beroperasi seperti biasa, namun turut me­ngakibatkan sekurang-kurangnya 26 pesawat mengalami kelewatan hampir satu jam sejak semalam.

Setakat pukul 11 malam ini, kejadian itu telah meragut tujuh nyawa.

Mereka ialah Amanullah Shahib Kalandir, 75, yang ditemukan lemas di rumah di Jalan Perak dan Chew Eng Lean, 78, yang tinggal di Taman Free School di sini serta Chong Sin Thon, 97, yang mayatnya ditemukan di rumahnya di Jalan Shaik Madar, Ayer Itam di sini, kira-kira pukul 1 petang ini.

Turut ditemukan mati lemas ialah penghuni Pusat Penjagaan Orang-Orang Tua Paschal, Jalan P. Ramlee di sini, Lau Guek Jee, 64.

Mayat seorang wanita, Tan Ah Peoe, 45, ditemukan di rumahnya di Air Itam manakala satu mayat yang belum dikenal pasti identitiya ditemukan tersangkut di kaunter tiket Stadium Bandaraya.

Sementara itu, seorang warga asing juga dilaporkan terbunuh selepas pokok tumbang menghempapnya dalam kejadian di Kampung Perlis, Bagan Dalam.

Setakat petang ini, kira-kira 2,000 penduduk masih ditempatkan di pusat pemindahan banjir yang dibuka di lima daerah di negeri ini.

Sementara itu, bencana banjir kali ke-22 di negeri ini sejak awal tahun ini juga diakui paling buruk oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang terpaksa memohon bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Bercakap kepada pemberita awal pagi tadi, Guan Eng memaklumkan beliau berjaya menghubungi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kira-kira pukul 3.30 pagi ini dan memohon dihantar pasukan penyelamat ATM bagi membantu mangsa-mangsa banjir.

Menurut Guan Eng, ini kerana bencana banjir kali ini disifatkan sangat dahsyat dengan ada rumah yang ditenggelami sehingga ke paras bumbung.