BN: Beri mangsa banjir RM2,000, jangan serah borang PH

Warga emas Cik Su Ahmad antara mangsa banjir yang diselamatkan anggota bomba ketika operasi mencari dan menyelamat mangsa banjir di sekitar Sungai Dua, Pulau Pinang hari ini. — Foto BernamaWarga emas Cik Su Ahmad antara mangsa banjir yang diselamatkan anggota bomba ketika operasi mencari dan menyelamat mangsa banjir di sekitar Sungai Dua, Pulau Pinang hari ini. — Foto BernamaGEORGE TOWN, 6 Nov — Barisan Nasional (BN) hari ini membentangkan usul tergempar pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini berhubung pembayaran wang ihsan kepada mangsa tragedi banjir yang melanda Pulau Pinang.

Ketika membentangkan usul itu, Datuk Dr Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) mencadangkan agar Dewan yang bersidang hari ini serta merta meluluskan Pembayaran Ihsan Khas berjumlah RM2,000 kepada setiap isi rumah yang menjadi mangsa banjir.

Selain itu, beliau turut mencadangkan satu jumlah pampasan yang difikirkan wajar kepada sekolah, masjid, dan rumah ibadat bukan Islam dan lain-lain yang seumpamanya.

“Pembayaran pampasan khas ini perlu mengguna pakai wang daripada Tabung Hasil Disatukan  Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya.

Bagaimanapun usul tersebut hanya didengar tanpa dibahaskan berikutan keputusan mutlak berhubung perkara terbabit hanya akan dapat dibuat oleh kerajaan negeri.

Ketika ditemui pemberita kemudian, Muhamad Farid berkata jumlah RM2,000 itu lebih memadai berbanding hanya wang bantuan RM400 yang diumumkan kerajaan negeri pada September lalu.

“Saya tidak berhasrat untuk usul itu dibahaskan. Terlalu banyak harta yang rosak dan ia membebankan rakyat yang kurang berkemampuan.

“Oleh itu saya berharap kerajaan negeri dapat mengambil perhatian perkara ini dan saya mohon bantuan ini dapat disegerakan, serta diberikan terus kepada mangsa banjir tanpa melalui syarat  yang berunsur politik,” katanya.

Muhamad Farid turut meminta agar bantuan tersebut disalurkan terus kepada mangsa banjir tanpa perlu mengisi borang Ahli  Pakatan Harapan.

“Saya difahamkan untuk mendapat bantuan perlu mengisi borang ahli Pakatan Harapan terlebih dahulu.

“Jadi di sini saya minta tidak perlulah mengisi borang tersebut dan terus sahaja memberi bantuan kepada mangsa banjir terlibat,” katanya.

Persidangan DUN kemudian ditangguhkan sehingga 8 November ini bagi memberi laluan kepada lawatan rasmi Putera Charles, the Prince of Wales dan Camilla, the Duchess of  Cornwall, ke Pulau Pinang esok. — Bernama



Sumber BN: Beri mangsa banjir RM2,000, jangan serah borang PH

Post a Comment

Previous Post Next Post