Cari dalang rosak nelayan — Mohamad Imran Hamid

16 NOVEMBER — Saya ambil maklum isu rasuah berhubung kemasukan bot nelayan asing yang melibatkan pegawai atasan dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Perkara tersebut dilihat terbukti benar apabila ketua pengarah APMM Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar sendiri menyebut bahawa beliau percaya masih ada dalang rasuah berkaitan kemasukan bot nelayan asing dan memohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasatnya. 

1. Penglibatan orang atasan dan pegawai-pegawai APMM dalam isu ini sebenarnya bukan perkara baru, malah banyak kes yang melibatkan rasuah telah dilaporkan. Antaranya seperti penangkapan seorang pegawai APMM yang menerima rasuah sebanyak RM400 bagi membenarkan seorang lelaki menggunakan kor bergalah tanpa lesen untuk mengutip kepah di kawasan perairan Kuala Bukit Tambun, sekitar April 2015.

Ia diikuti dengan penahanan terbaru tiga pegawai kanan APMM Kota Kinabalu yang berusia 39 hingga 53 tahun bagi membantu siasatan kes kemasukan bot nelayan asing di Sabah dan mereka disiasat mengikut Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Ia disusuli dengan kenyataan pengarah SPRM Sabah Datuk Sazali Salbi yang menyatakan lebih ramai anggota APMM akan ditahan selepas ini. Ini semua menunjukkan jenayah rasuah dalam agensi tersebut memang sudah semakin membarah, namun persoalan utamanya adalah bagaimana isu ini boleh diselesaikan? Apakah kerajaan memandang remeh masalah ini sehingga sanggup membenarkan nelayan asing tanpa lesen terus mengaut hasil negara?

2. Perlu diingat, pencerobohan nelayan asing ini bukan saja mengaut hasil perikanan dan laut negara, tetapi turut merosakkan ekosistem yang boleh mengakibatkan sumber marin negara pupus. 

Bukankah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri telah menyebutkan bahawa negara rugi RM3 bilion hingga RM6 bilion setahun akibat rompakan nelayan asing? Jadi berapa banyak lagi kerugian yang perlu ditanggung?

3. Sehubungan itu, saya mencadangkan kerajaan untuk menambah aset penguatkuasaan yang lebih canggih seperti kapal induk bagi melakukan aktiviti pemantauan dan penangkapan nelayan asing dengan lebih berkesan. 

Namun ingin saya ingatkan, setakat kapal canggih saja tidak ada gunanya jika penguatkuasaan secara berterusan tidak dibuat. 

4. Saya juga mendesak kerajaan supaya memandang serius tindakan segelintir nelayan tempatan yang menyalahgunakan permit dengan jalan singkat sama ada menyewa dengan bayaran tertentu bagi membolehkan nelayan bot asing beroperasi atau individu yang menjadi dalang. 

Mereka yang berkomplot ini juga perlu ditangkap, tidak boleh ada kompromi dalam isu ini. Jangan gadai nasib nelayan tempatan yang bergantung hidup dengan hasil laut.

5. Saya harap APMM dan SPRM boleh berkerjasama mengatasi permasalahan ini daripada berlarutan. Selagi masalah kecurian hasil laut ini terus berlaku, nasib dan hak nelayan tempatan selamanya terpinggir. Jangan hanya pandai bercakap, hak ke atas keluasan perairan negara wajib dipertahankan.

* Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid adalah ahli parlimen Lumut dan naib pengerusi PKR Perak

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.



Sumber Cari dalang rosak nelayan — Mohamad Imran Hamid

Post a Comment

Previous Post Next Post