KUALA LUMPUR, 7 Nov – Buah durian dan produk berasaskan durian merupakan antara carian tertinggi di dalam laman e-dagang Alibaba.com oleh pengguna negara China ketika ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan berkata kerajaan sedang meneliti langkah mengeksport durian dalam bentuk buah kerana ketika ini durian yang dieksport sudah dikupas dan dalam produk berasaskan ‘‘cookies’’ dan kuih yang mempunyai perisa buah itu.
“Kalau dilihat dalam carian yang tertinggi dalam Alibaba.com oleh pengguna dari negara China, segala perkara tentang durian adalah carian nombor satu dalam portal itu.
“Kementerian Asas Tani sebenarnya sedang mengadakan perbincangan dan tidak lama lagi kita akan tahu bagaimana kita boleh eskport durian dengan lebih mudah,” katanya dalam sesi Pertanyaan- Pertanyaan Bagi Jawab Lisan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Ahmad menjawab soalan tambahan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) yang ingin tahu sejauh manakah kerajaan menyediakan sistem eskport secara besar-besaran buah durian bagi memudahkan mereka menanam secara ladang.
Terdahulu menjawab soalan asal Datuk Othman Abdul (BN-Pendang), Ahmad berkata dagangan dua hala antara Malaysia dan China pada sembilan bulan pertama tahun ini mencecah RM212.94 bilion, berbanding RM170.64 bilion bagi tempoh sama tahun lepas.
Beliau berkata, jumlah eksport bagi tempoh Januari hingga September tahun ini meningkat sebanyak 35.3 peratus kepada RM91.87 bilion manakala jumlah import meningkat sebanyak 19.7 peratus kepada RM121.08 bilion.
Dalam pada itu, Ahmad berkata pada 31 Dis tahun lepas, sejumlah 220 projek perkilangan dengan penyertaan dari negara China telah dilaksanakan dengan nilai pelaburan berjumlah RM14.2 bilion dan projek-projek ini mewujudkan 33,020 peluang pekerjaan. ― Bernama
Sumber Durian paling dicari dalam Alibaba.com di China