Isteri sanggup merisik, meminang madunya sendiri malah saksi sendiri akad nikah suami dengan isteri baru

Isteri sanggup merisik, meminang untuk suaminya

Hanya ingin memastikan segala hajat pasangan hidupnya tercapai, seorang wanita bergelar isteri, di sini, bukan sekadar merelakan dirinya dimadukan tetapi juga sanggup merisik, meminang serta menyaksikan sendiri akad nikah suaminya dengan isteri baharu.

Tidak cukup dengan itu, Mek Nik Hassan,58, juga mengenakan busana putih pada majlis akad nikah sekali gus kelihatan sedondon bersama pasangan pengantin, Md Noor Abd Ghani, 59, dengan Wan Nora Wan Mustafa,38, selain turut menyarungkan barang kemas berupa seutas rantai di leher madunya.

Majlis berlangsung di kediaman pengantin perempuan petang Jumaat lalu yang terletak di seberang jalan dengan rumah Mek Nik dan  Md Noor juga menyaksikan Mek Nik setia di sisi madunya sehingga ke akhir majlis selain turut mengabadikan kenangan merakam gambar bersama-sama.

Berkongsi cerita, Mek Nik yang lebih mesra dipanggil Kak Nab berkata dia lega dan bersyukur kerana segala urusan serta perjalanan majlis berjalan lancar sekali gus dapat memenuhi hajat yang disuarakan suami tercinta beberapa bulan lalu untuk berkahwin lain.

“Saya tidak terkejut apabila suami maklumkan hasrat untuk berkahwin lagi sebaliknya percaya dia benar-benarkan maksudkan begitu kerana suami jenis suka berterus-terang, jika itu dikatakannya itu jua lah dilakukannya. Lagipun, saya rasa suami  berkemampuan dan berpoligami bukannya berdosa dalam Islam.

“Saya lebih rela dengar dari mulutnya sendiri daripada tahu kemudian hari daripada cerita orang. Sekurang-kurangnya dia jujur kepada saya sebagai isterinya kerana tidak sorokkan apa-apa dari saya atau berkahwin lain secara senyap-senyap kerana itu akan buatkan saya terluka.

“Biarpun terpaksa berkongsi kasih suami, namun demi penuhi hajatnya saya sanggup.

Lagipun, saya telah lama kenal madu saya ini kerana tinggal sekampung dan kerana itu juga mudahkan saya untuk urusan persiapan perkahwinan termasuk mengajak Wan Nora ke Bandar Kuala Berang untuk membeli cincin.

“Alhamdulillah, sembilan anak saya berusia antara 17 hingga 38 tahun juga tidak menghalang perkahwinan baharu ayah mereka, cuma saya harapkan kami semua sentiasa bahagia. Saya yakin, madu saya ini dapat berikan kebahagiaan jua kepada suami, lagipun kesihatan saya kurang mengizinkan kerana menghidap kencing manis,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Wan Nora berkata  selain tertarik dengan perwatakan suami yang begitu pemurah dan baik hati, kesungguhan serta kebaikan Kak Nab bagi melihat perkahwinan itu menjadi satu kenyataan turut menyebabkan hatinya terbuka sekali gus menerima lamaran meskipun tahu akan berkongsi kasih dengan suami orang.

“Kak Nab sendiri datang jumpa saya tanya sudi kahwin dengan suaminya ataupun tidak dan beritahu dia tidak marah. Mulanya, saya tiada jawapan tetapi melihat Kak Nab begitu bersungguh saya akhirnya bersetuju dan keesokan harinya dia terus ajak saya pergi beli cincin sebagai persiapan.

“Saya sendiri tidak pernah terfikir akan berkahwin dengan ayah kepada rakan sekolah sendiri, namun siapa menyangka kerana jodoh itu rahsia ALLAH. Bermadu juga ibarat mimpi ngeri bagi wanita, tapi Alhamdulillah saya terpilih rasai kemanisannya.

“Suami yang mengusahakan tanaman sawit antara pelanggan tetap kedai makan yang saya usahanya sejak lebih kurang lima tahun lalu di kampung ini. Dari situlah sifat pemurahnya dapat saya lihat kerana dia sering belanja orang lain sekali gus membuat kan saya tertarik dengan perwatakannya,” ujarnya.

Tambah Wan Nora, dia berterima kasih kepada Kak Nab kerana sudi menerima dirinya serta turut berharap perkahwinan kali ketiganya itu  kekal selamanya dan dia telah pun mempunyai lima anak berusia antara sembilan tahun hingga 20 tahun sebelum alami kegagalan rumah tangga kali kedua Mei lalu.

Katanya lagi, biarpun mungkin ada segelintir individu bercakap mengenai perkahwinan itu namun dia tidak mahu memikirkannya kerana dia melakukan sesuatu yang baik dalam Islam dan tentunya jodoh serta segalanya itu sudah ditakdirkan serta ditentukan oleh-NYA.

 

Sumber: Mstar

 



Sumber Isteri sanggup merisik, meminang madunya sendiri malah saksi sendiri akad nikah suami dengan isteri baru

Post a Comment

Previous Post Next Post