Kerajaan kekalkan hutang bawah 55 peratus KDNK

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus mengamalkan langkah konsolidasi fiskal bagi mengurangkan paras defisit secara berperingkat.

Menteri Kewangan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini, berkata kerajaan komited memastikan paras hutang negara tidak melebihi 55 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

"Kedudukan ini akan mengurangkan keperluan kerajaan untuk meminjam dan dapat menurunkan paras hutang.

"Kepatuhan yang tegas terhadap disiplin fiskal serta pengurusan hutang yang baik terus diberikan penekanan bagi memastikan kedudukan fiskal dan makroekonomi terus kukuh serta dapat menampan sebarang krisis," katanya.

Jawapan bertulis itu adalah bagi menjawab soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh), yang bertanyakan jumlah hutang negara dalaman dan luaran, serta senarai 10 pemiutang terbesar kerajaan dan pinjaman yang diberi pemiutang.

Menteri Kewangan berkata, jumlah hutang Kerajaan Persekutuan pada akhir Jun lalu adalah sebanyak RM685.1 bilion atau 50.9 peratus daripada KDNK.

Daripada jumlah itu, katanya, 96.7 peratus atau RM662.4 bilion bersamaan 49.2 peratus daripada KDNK adalah hutang domestik, manakala 3.3 lagi atau RM22.7 bilion bersamaan 1.7 peratus daripada KDNK, adalah pinjaman luar pesisir.

"Kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan kekal terurus dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana," katanya.

Jawapan bertulis itu turut menjelaskan, RM496.2 bilion atau 72.4 peratus bon dan sukuk kerajaan dipegang pelabur domestik, terdiri daripada institusi kukuh dan berjangka panjang.

Antaranya seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dan institusi perbankan (29.7 peratus), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (27.2 peratus), syarikat insurans (4.5 peratus), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (3.5 peratus), institusi kewangan pembangunan (3.0 peratus), institusi kewangan bukan bank (0.1 peratus) dan lain-lain (4.4 peratus).

"Baki RM188.8 bilion atau 27.6 peratus dipegang oleh bukan pemastautin seperti pengurus dana/aset (10.0 peratus) bank pusat, supranasional dan kerajaan (8.5 peratus), dana persaraan (4.8 peratus), institusi perbankan (2.3 peratus), syarikat insurans (0.8 peratus), institusi dua hala dan pelbagai hala serta lain-lain (1.2 peratus)," katanya.



Sumber Kerajaan kekalkan hutang bawah 55 peratus KDNK

Post a Comment

Previous Post Next Post