Mawar Milik Raf Dengan Sekali Lafaz

Mawar Milik Raf Dengan Sekali Lafaz

Bersanding mengikut tradisi. (Pic: Chempaka Nur Iman)

Pelakon Mawar Rashid mengakui tidak pernah terfikir menamatkan zaman solo pada usia 22 tahun namun bibit pertemuan dengan Raf Yaakob membuka pintu hatinya untuk melayari kehidupan berumahtangga bersama lelaki yang mematangkan dirinya itu.

Katanya, kehadiran Raf menjadikan dia insan yang lebih baik dan semakin bahagia malah pertemuan dengan keluarga suaminya di awal perkenalan membuatkan dirinya teringin menjadi sebahagian daripada keluarga mereka.

Mawar mahu jadi isteri yang baik dan solehah.

"Sebelum ini saya mahu membantu keluarga dulu, kumpul duit, kukuhkan kerjaya seni apatah lagi saya sangat manja dengan emak. Sampai sekarang pun emak masih mandikan saya.

"Namun apabila kenal dengan abang (Raf), hati saya terbuka untuk berkahwin kerana dia menyerikan lagi hidup saya. Saya umpama bunga mawar yang bertambah seri apabila bersamanya. Biar usia saya muda, dia mampu mematangkan saya.

"Keluarganya juga sangat baik. Saya terharu disambut baik semua orang. Saya ingin menjadi isteri yang baik. Sudah tentu saya perlu banyak belajar dengan ibu mentua untuk jadi isteri solehah," kata anak bongsu daripada enam bersaudara itu ketika ditemui selepas majlis pernikahannya, semalam.

Semalam, bintang Suamiku Paling Sweet itu sah bergelar isteri kepada Raf atau Raden Ahmad Faizal Yaakob, 32, dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang diadakan di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur.

Mahu belajar dengan ibu mertua.

Pasangan ini dinikahkan Imam Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq Bangsar, Ustaz Mohamad Azri Ahmad Kamil pada jam 3.20 petang dengan mas kahwin RM900.

Mawar atau nama sebenarnya, Wan Mawar Shaputri Abdul Rashid turut menerima tujuh dulang hantaran berupa Al Quran dan telekung berbalas sembilan manakala wang hantaran dirahsiakan.

Pengantin perempuan yang anggun mengenakan busana perkahwinan berkonsepkan Jawa Tradisional rekaan Cosry tampak sepadan dengan calon pilihan hatinya yang juga adik kepada penyanyi dan chef selebriti, Datuk Fazley Yaakob.

Majlis ini diserikan kehadiran kira-kira 300 jemputan termasuk ahli keluarga dan kenalan rapat.

Diapit ibu dan ibu mertua.

Pada malam sebelumnya Mawar diraikan dalam acara berinai dan bersiram di lokasi sama yang berlatarkan tema Thai. Akuinya, percampuran budaya di mana dia berdarah Melayu-Thailand manakala ibu Raf dari Indonesia membuatkan dia dan suami sepakat menggabungkan tradisi dalam setiap majlis.

Terdahulu, mereka menjalin pertunangan pada 7 Julai lalu di Roof Garden @ Sime Darby Convention Centre, Bukit Kiara selepas melaksanakan acara merisik dua bulan sebelumnya.

Bibit percintaannya dengan duda anak dua itu bermula bermula awal tahun ini selepas diperkenalkan rakan baik kedua-duanya yang juga pelakon, Emma Maembong.

Majlis resepsi keluarga kedua-dua belah mempelai bakal diadakan di Pusat Konvensyen Sime Darby pada 1 Disember depan dengan berlatarkan tema moden.

Bakal bersama Raf dalam travelog.

Sementara itu, Raf yang turut berjinak-jinak di arena lakonan memaklumkan rancangan awal untuk disatukan adalah pada tahun depan namun tawara mengendalikan sebuah program travelog mendorongnya untuk mempercepatkan tarikh berkenaan.

"Sudah namanya jodoh. Semua berlaku atas ketentuanNya. Apabila diminta mengacarakan program travelog mengembara ke Rusia melalui jalan darat atau dikenali sebagai trans siberia, saya fikir kenapa tidak membawa isteri sekali.

"Jadi faktor ini antara penguat hasrat saya untuk menyunting Mawar. Ikutkan jadual perjalanan sebulan dengan menaiki keretapi itu dilakukan pada hujung tahun ini namun masih bergantung kepada keadaan cuaca.

"Saya dipertanggungjawabkan sebagai hos manakala isteri menjadi co-host. Bagi saya, selepas berkahwin saya mahu Mawar terus mengejar impiannya dan meneroka lebih banyak bidang seni. Saya yakin tanggungjawab sebagai isteri dan terhadap keluarga juga menjadi keutamaannya," kata Raf.

Tidak mahu lagi adegan bersentuhan dalam lakonan.

Dedahnya lagi, minggu depan mereka bakal terbang ke Manchester selama seminggu kerana dia mendapat undangan ke majlis makan malam bersama pasukan bola sepak Manchester United sekali gus menganggap ia sebagai bulan madu.

Pada masa sama, Mawar terharu dengan sokongan teman hidupnya itu yang mahu melihatnya terus maju namun kini dia akan memastikan lebih menjaga keperibadian sekali gus meletakkan batasan terutama dalam lakonan.

"Saya takkan berhenti berlakon kerana ini sumber rezeki cuma saya perlu tegaskan tiada babak bersentuhan. Bukan suami letakkan syarat sebaliknya saya sendiri yang mahu lebih berhati-hati. Lagi pun sebenarnya dari dulu saya kurang selesa adegan bersentuhan. Kalau ada di dalam TV, saya minta maaf," katanya.



Sumber Mawar Milik Raf Dengan Sekali Lafaz

Post a Comment

Previous Post Next Post