Najib puji surau lindung mangsa banjir bukan Islam

Beberapa mangsa banjir teruk di sekitar Lengkuk P Ramlee berteduh di surau Taman Free School, George Town, 5 November 2017.Beberapa mangsa banjir teruk di sekitar Lengkuk P Ramlee berteduh di surau Taman Free School, George Town, 5 November 2017.KUALA LUMPUR, 7 Nov — Datuk Seri Najib Razak hari ini memuji tindakan jawatankuasa surau dan masjid di Pulau Pinang membuka pintu kepada mangsa banjir di negeri itu untuk berteduh tanpa mengira agama dan kaum.

Perdana menteri berkata tindakan itu merupakan contoh semangat 1Malaysia Negaraku yang patut diamalkan.

“Bagi saya, tindakan surau-surau dan masjid-masjid yang membuka pintu sebagai tempat berteduh bagi mangsa-mangsa banjir tanpa mengira agama dan kaum adalah tepat, wajar dan sesuatu yang harus dipuji,” kata Najib menerusi catatan di laman rasmi Facebook beliau, hari ini. 

Najib berkata Islam mengajar umatnya berkasih sayang, dan beliau mengambil iktibar kisah Rasulullah SAW yang memberi perlindungan kepada semua, tanpa mengira agama, tatkala mereka memerlukan bantuan.

“Seperti yang tertera dalam Surah At-Taubah, mafhumnya, "Dan jika seorang antara orang musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah ia," katanya.

Media melaporkan semalam bahawa Surau Taman Free School di Georgetown membenarkan kira-kira 70 mangsa banjir membabitkan masyarakat Cina dan India yang tinggal di kampung sekitar kawasan itu untuk berteduh di surau berkenaan ekoran paras air yang naik secara mendadak.

Sebuah surau di Kampung Tanjung Putus, Permatang Pauh, masih menempatkan 150 keluarga mangsa banjir di kawasan itu dan beberapa masjid turut membuka pintu kepada mangsa banjir. 

Hujan lebat dan angin kencang yang berlarutan selama beberapa jam pada Sabtu lepas menyebabkan hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang ditenggelami air dan ada kawasan sehingga satu meter yang menyebabkan lebih 6,000 orang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir.

 Bencana banjir di negeri itu sehingga ini mengorbankan tujuh nyawa. — Bernama



Sumber Najib puji surau lindung mangsa banjir bukan Islam

Post a Comment

Previous Post Next Post