GEORGE TOWN, PULAU PINANG - Susulan dua lelaki warga Nepal dipukul pemandu bas pekerja, Jumaat lalu, mangsa telah menarik balik laporan polis yang dibuat, lapor Harian Metro.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Zainol Samah berkata, lelaki Nepal berusia 27 tahun itu membuat laporan polis pada jam 8.30 pagi selepas dipukul oleh pemandu bas terbabit.
Difahamkan dalam kejadian yang berlaku pada jam 7 pagi, mangsa duduk di tempat duduk belakang bas memarahi pemandu kerana tidak memasang pendingin hawa.
"Bagaimanapun, pemandu bas memberitahu bahawa pendingin hawa rosak dan akan dibaiki selepas bengkel dibuka.
"Namun berlaku pertengkaran antara mereka dan pemandu bas berkenaan yang berang memukul mangsa sebelum mangsa membuat laporan polis," katanya.
Mangsa, pemandu bas dan ejen pekerja serta pengurus bas berkenaan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes tersebut.
"Hasil perbincangan, mangsa telah menarik balik laporan yang dibuat dan enggan memanjangkan kes," katanya.
Walau bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Roslee Chik berkata, pihaknya tetap akan menjalankan siasatan terhadap kes tersebut dan tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat dan merakam percakapan beberapa saksi.
Katanya, walaupun mangsa dan suspek mahu menyelesaikan perkara itu secara baik, namun polis melihat ada campur tangan pihak lain supaya perkara itu diselesaikan tanpa membabitkan tindakan undang-undang.
"Polis akan membuat tangkapan terhadap suspek dalam masa terdekat dan kemungkinan empat hingga lima saksi akan dipanggil untuk dirakam percakapan.
"Selepas siasatan selesai, polis akan menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Sumber Pekerja Nepal tarik balik laporan, polis tetap akan siasat
Tags:
thereporter