Pemohon dapat subsidi, lesen lori, bas lebih murah, kata Liow

 Liow berkata Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dikaji semula bagi mengenakan tindakan lebih tegas kepada pemandu yang melanggar undang-undang jalan raya. — Foto oleh Siow Feng SawLiow berkata Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dikaji semula bagi mengenakan tindakan lebih tegas kepada pemandu yang melanggar undang-undang jalan raya. — Foto oleh Siow Feng SawBENTONG, 19 Nov — Kerajaan mensasarkan penyertaan kira-kira 1,000 peserta menerusi  program MyLesen Memandu Kenderaan Barang (GDL) yang merupakan kerjasama antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Selain memberikan potongan harga bagi memiliki lesen memandu lori dan bas, Liow  berkata program MyLesen GDL juga memainkan peranan dalam mengatasi masalah kekurang pemandu lori dan bas dari kalangan rakyat tempatan di negara ini.

“Menerusi MyLesen GDL, harga untuk memiliki lesen memandu lori dan bas disubsidikan kerana kita mahu latih lebih ramai pemandu dari kalangan rakyat tempatan dengan harga istimewa. Program akan diteruskan sehingga kita capai sasaran.

“Kerajaan akan beri subsidi, kalau harga biasa lebih kurang RM3,888 untuk dapatkan lesen memandu lori dan bas.

Kerana ada subsidi, harga ditawarkan adalah RM1,600. Kita mahu gunakan kemahiran rakyat tempatan,” katanya.

Liow berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) Khas 2017 di Kompleks Sukan Benus, di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah JPJ Datuk Shahruddin Khalid.

Seramai 463 peserta berjaya memiliki lesen memandu percubaan motosikal (Kelas B2) menerusi program SKSJ di daerah itu.

Mengulas lanjut, Liow berkata mereka yang berminat boleh mengunjungi mana-mana JPJ terdekat untuk tindakan selajutnya dan tiada had umur dikenakan kepada peserta berminat asalkan individu tersebut memiliki tubuh badan yang sihat.

Mengenai kadar kemalangan dan kesalahan pemanduan, Liow berkata pihaknya akan mengkaji semula Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenakan tindakan lebih tegas kepada pemandu yang melanggar undang-undang jalan raya.

“Sistem Mata Demerit hanya melibatkan dua kesalahan utama iaitu pelanggaran lampu merah dan memandu melebihi had laju.

Mulai tahun depan kita akan tambah lagi 20 kesalahan antaranya menggunakan laluan kecemasan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan membawa muatan lebih,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa projek untuk membina pelabuhan di Pulau Carey sebagai pelengkap kepada Pelabuhan Westport dan Northport yang dikatakan terpaksa ditangguhkan, Liow menolak dakwaan tersebut dengan menyatakan bahawa: Mereka yang menimbulkan isu itu, mungkin mempunyai agenda sendiri”.

Projek pelabuhan dan bandar raya maritim di Pulau Carey meliputi kawasan 100 km persegi, di bawah zon bebas dagangan serta mempunyai zon perumahan, komersil dan prasarana sokongan. — Bernama



Sumber Pemohon dapat subsidi, lesen lori, bas lebih murah, kata Liow

Post a Comment

Previous Post Next Post