Pemuda UMNO Kedah mohon Ahmad Bashah lepas jawatan KFA

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah serta seluruh kepemimpinan UMNO negeri termasuk barisan exco menimbangkan kemungkinan melepaskan jawatan disandang dalam Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Ketua Pemuda UMNO Kedah Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, tuntutan dan cadangan itu dibuat atas dasar untuk menjaga nama baik parti yang sering dijadikan kambing hitam oleh pihak pihak berkepentingan tertentu yang terus menjadikan bolasepak sebagai medan mereka mencari simpati politik dan amarah politik.

"Kita menyifatkan tindakan segelintir penyokong Kedah sewaktu perlawanan akhir Piala Malaysia tempoh hari adalah sesuatu yang tidak dapat diterima dan biadab.

"Kita juga rasa malu apabila seorang menteri besar yang mewakili Kerajaan Negeri dimalukan dan 'diboo' dengan keadaan sedemikian rupa walaupun beliau telah banyak berkorban demi kemajuan dan kecemerlangan bola sepak negeri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

BACA: JDT muncul juara Piala Malaysia 2017

BACA: 

TMJ dedikasi Piala Malaysia kepada Allahyarham Datuk Suleiman

Johor Darul Ta’zim (JDT) dinobat sebagai juara Piala Malaysia 2017 selepas menewaskan Kedah 2-0 dalam saingan akhir di Stadium Shah Alam pada Sabtu lepas.

Dalam pada itu kata Shaiful, kejadian tempoh hari itu adalah sama sekali tidak boleh diterima.

"Komitmen dan pengorbanan Ahmad Bashah langsung tidak dikenang dan dihargai. Untuk rekod semasa pentadbiran beliau sebagai Presiden KFA, kita telah ke pentas final Piala Malaysia sebanyak dua kali, final Piala FA sekali.

"Hasil daripada itu kita telah mendakap satu Piala Malaysia, satu Piala FA dan satu Piala Sumbangsih dalam tempoh dua tahun pentadbiran.

"Selain itu, untuk rekod pembangunan akar umbi pada tahun ini juga amat membanggakan dengan skuad Piala Presiden telah layak ke separuh akhir Piala Presiden dan manakala skuad belia kita telah memenangi Piala Belia buat julung kalinya," ujarnya.
 
Tegasnya, Ahmad Bashah juga telah mencari dana RM 27 juta setahun untuk pengurusan dan gaji (RM54 juta utk dua tahun).
   
"Selain itu, gaji dan bonus pemain dijaga dan dibayar tepat pada masanya dan kontrak kontrak pemain diperbaharui dengan kadar gaji yang meningkat mengikut kemampuan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Shaiful juga memohon agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan tegas kepada penyokong JDT yang sama sekali tidak menghormati lagu negeri Kedah ketika ianya dimainkan.

"Sebuah kain rentang gergasi yang bersimbolkan 'haters' jelas menunjukkan niat tidak baik pihak tertentu terhadap lagu kebanggaan negeri Kedah dan secara tidak langsung tidak menghormati kehadiran Sultan Kedah Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah di pentas utama.
 
"Mungkin imej 'haters' tersebut bersifat umum namun kita ingin mempersoalkan kenapa ianya diturunkan sewaktu lagu kebanggan negeri Kedah iaitu 'Allah selamatkan Sultan dinyanyikan?" soalnya.
 
Oleh yang demikian, Shaiful juga memohon agar pihak yang bertanggungjawab tampil memberi penjelasan dan pada masa yang sama memohon maaf kepada seluruh rakyat negeri Kedah dan kepada Sultan Kedah atas apa jua niat dan tindakan.

"Kita juga ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan JDT di atas kejayaan merangkul Piala Malaysia dan bagi kami 'they are better team deserved to win'," jelasnya.
 



Sumber Pemuda UMNO Kedah mohon Ahmad Bashah lepas jawatan KFA

Post a Comment

Previous Post Next Post