Rakyat Malaysia 'emir' baharu Daesh diburu

MANILA: Pihak berkuasa Filipina sedang memburu seorang rakyat Malaysia yang mungkin menjadi pemimpin baharu kumpulan pro-Daesh di Asia Tenggara, susulan kematian beberapa militan profil tinggi baru-baru ini.

Setiausaha Pertahanan, Delfin Lorenzana, berkata pihaknya sedang memburu Amin Baco yang berkemungkinan menjadi pemimpin baharu militan terbabit.

Ketua Polis Filipina, Ronaldo dela Rosa, berkata beliau menerima maklumat sama bahawa Amin, seorang pakar membuat bom mengambil alih peranan sebagai orang penting Daesh.

Pakar mengatakan, Amin dilatih militan Malaysia, Zulkifli Hir atau Marwan yang terbunuh pada 2015 ketika pertembungan di wilayah Maguindanao, menyebabkan 44 komando polis maut.

Dela Rosa berkata, maklumat bahawa Amin mungkin mengambil-alih kepimpinan itu mungkin datangnya daripada rakyat Indonesia yang ditahan di Marawi minggu lalu.

Amin dilaporkan terbunuh di Marawi namun sumber perisikan berkata, dia berjaya melarikan diri.

"Dia mungkin berada di pulau Jolo atau Maguindanao yang terletak berhampiran," kata seorang kolonel tentera yang biasa dengan kumpulan militan di Mindanao kepada Reuters.

Katanya, Amin berada di Filipina sejak sekian lama dan mempunyai hubungan dengan kumpulan militan serantau Jemaah Islamiyah.

Dia berkahwin dengan anak perempuan seorang pembantu pemimpin militan tempatan. -Reuters



Sumber Rakyat Malaysia 'emir' baharu Daesh diburu

Post a Comment

Previous Post Next Post