“Satu percubaan yang baik, cara Aiman Tino rap pun agak bagus” – Joe Flizzow

PENYANYI rap, Joe Flizzow menganggap nyanyian rap Aiman Tino menerusi lagu terbaharu kakaknya, Fara Hezel berjudul Terasa Cinta merupakan percubaan yang baik.

Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak, 39, berkata, dia tiada masalah jika mana-mana artis mahu berkarya dalam genre itu.

“Satu percubaan yang baik, cara Aiman rap pun agak bagus juga. Sebelum ini saya pernah dengar rap yang lebih teruk dari dia.

“Saya juga mengalu-alukan jika ada artis yang mahu rap atau memasukkan elemen hip-hop dalam lagu mereka. Misalnya, Datuk Seri Siti Nurhaliza pun ada lagu yang berunsur rap, tiada masalah pun,” katanya kepada mStar Online.

Joe diminta mengulas mengenai isu bekas ahli kumpulan VE, Damian Mikhail yang menyifatkan nyanyian rap Aiman Tino sebagai satu penghinaan kepada industri muzik.

Dia ditemui sewaktu sidang media pelancaran single baharunya berjudul Drop di Hotel St Regis, Kuala Lumpur.

Sementara itu, penyanyi lagu Havoc ini berkata, single berbahasa Inggeris berjudul Drop membawa maksud positif mengenai kehidupan.

“Dalam hidup, tidak kira apa jua rintangan yang dihadapi, kita mesti positif dan meraikan sahaja apa yang berlaku,” katanya.

Tambah Joe, dia mempunyai matlamat untuk membawa lagu tersebut sehingga ke peringkat Antarabangsa.

Lagu Drop diterbitkan oleh Alif (sleeq) dan telah diadun oleh jurutera muzik terkemuka dunia, Chris Athens.

Dalam majlis yang sama, Joe turut melancarkan muzik video rasmi lagu berkenaan yang boleh ditonton di laman Vevo SonyMusicKartel bermula Jumaat.

Mengulas mengenai muzik video lagu berkenaan, ia menjalani proses rakaman di Phuket.

Sumber: Mstar



Sumber “Satu percubaan yang baik, cara Aiman Tino rap pun agak bagus” – Joe Flizzow

Post a Comment

Previous Post Next Post