Ketua Jabatan Penguatkuasanya Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata kerjasama itu diperlukan memandangkan SPAD tidak boleh memantau kesalahan yang dilakukan pemandu lori atau bas di jalan raya pada setiap masa.
"Kita minta pengguna jalan raya yang melihat kesalahan yang dilakukan itu terus membuat aduan kerana talian aduan beroperasi 24 jam. Nombor talian aduan juga dipamerkan kenderaan itu. Bagaimanapun aduan itu hendaklah lengkap dengan butiran tarikh, masa, di mana dan apa yang berlaku.
"Kita perlukan maklumat ini untuk memudahkan siasatan. Bukan mudah kita hendak menuduh orang melakukan kesalahan. Sebagai contoh seperti bas, jika ada aduan lengkap kita boleh memeriksa sistem pengesan global (GPS) secara terus dan mereka tidak boleh tipu," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyertai operasi bersepadu Op Hippo antara SPAD dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap lori di Jalan Kuantan-Tanjung Lumpur dan Jalan Kuantan-Pekan berhampiran Inderapura di sini, hari ini.Che Hasni berkata SPAD juga menerima aduan daripada mereka yang merakamkan kejadian dengan menggunakan kamera jenis 'dashcam' serta melakukan siasatan terhadap kejadian yang tular dalam media sosial.
Selain itu, beliau mengingatkan pengusaha dan pemandu lori untuk mematuhi undang-undang kerana kemalangan melibatkan kenderaan itu lebih berisiko mendatangkan kecederaan parah atau kematian.
"Keselamatan pengguna jalan raya perlu menjadi tumpuan utama mereka, bukannya mahu mengejar keuntungan hingga melakukan kesalahan seperti membawa lebih muatan atau muatan tidak sepatutnya.
"Patuhi permit muatan yang dikeluarkan. Jika permit tidak dikeluarkan untuk membawa batu, jangan bawa kerana keadaan lori yang tidak sesuai menyebabkan batu mudah keluar dan boleh mendatangkan kecederaan pada kenderaan di belakang," katanya.
Che Hasni juga mengingatkan pengusaha atau pemilik lori agar tidak mengupah pekerja asing tanpa lesen yang sah untuk memandu lori mereka atau berhadapan dengan risiko lesen syarikat digantung selain akan menyukarkan mereka semasa diaudit oleh SPAD atau jika berlaku kemalangan.
Sebanyak 31 lori ditahan kerana melakukan 66 kesalahan menerusi operasi lima jam itu yang diadakan bermula 7 pagi melibatkan empat pegawai dan 38 anggota SPAD dan PDRM.
"44 kes berkaitan SPAD antaranya membawa lebih muatan dan muatan yang tidak dibenarkan manakala 22 lagi kes bawah bidang kuasa PDRM iaitu tidak memiliki alat pemadam api, kesalahan berkaitan nombor pendaftaran dan cukai jalan tamat tempoh," katanya.
-- BERNAMA
Sumber SPAD minta orang ramai jadi mata dan telinga