Menurut Kotler (1996),pemasaran ialah satu proses sosial ataupun pengurusan dimana individu ataupun kumpulan memperolehi apa yang dikehendaki dan diperlukan samada dengan menciptakannya sendiri ataupun melalui pertukaran produk atau nilai dengan pihak yang lain.
Pemasaran bukan hanya berkisar tentang jualan, tetapi ia juga melibatkan urusan-urusan sebelum jualan seperti kajian, pembangunan produk, kualiti produk, perletakan harga, pengagihan produk, pembungkusan, urusan selepas jualan dan sebagainya.
Secara keseluruhannya terdapat lima perkembangan konsep pemasaran iaitu konsep pengeluaran, konsep keluaran, konsep jualan, konsep pemasaran dan konsep pemasaran kemasyarakatan.
Kelima-lima konsep yang telah anda pelajari di dalam input ini merupakan konsep-konsep pemasaran yang biasa digunakan oleh pihak pengeluar atau pemasar.
Setiap konsep mempunyai strateginya yang berbeza. Pemasar tidak semestinya menggunakan keseluruhan pendekatan konsep-konsep tersebut, tetapi boleh memilihnya berdasarkan faktor-faktor yang mempengaruhi citarasa pengguna dan kesesuaian produk.
#1-Konsep Pengeluaran
Konsep ini menganggap pengguna mempunyai kecenderungan untuk memilih keluaran-keluaran yang tersedia dan berharga murah. Apa yang ditekankan ialah peningkatan dalam kecekapan pengeluaran dan agihan. Konsep ini bersesuaian apabila:
i) Permintaan untuk sesuatu keluaran melebihi penawaran.
ii) Kos pengeluaran yang tinggi dan peningkatan produktiviti adalah perlu
bagi menurunkan kos.
Di bawah konsep ini, pengguna dianggap sebagai mempunyai kecenderungan untuk memilih keluaran-keluaran yang tersedia dan berharga murah. Bertolak dari itu pengurusan menekankan usahanya untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran dan agihan.
Konsep pengeluaran tidak begitu sesuai dalam pemasaran moden kerana falsafah ini terlalu menekankan kepada aspek-aspek pengeluaran dan agihan dan bukannya kepada keperluan pengguna.
#2-Konsep Keluaran
Konsep ini menganggap bahawa pengguna lebih gemar kepada keluaran yang berkualiti tinggi, mempunyai pelbagai ciri dan berprestasi tinggi. Justeru itu, organisasi perlu menumpukan kepada pembetulan dan pembaikan keluaran secara berterusan.
Contohnya industri telefon bimbit telah melakukan banyak perubahan ke atas pelbagai fungsi telefon bimbitnya, ini kerana mereka beranggapan bahawa pengguna gemarkan telefon bimbit yang mempunyai pelbagai fungsi.
Falsafah ini bukannya bersesuaian dengan setiap segmen pasaran yang ada. Sebagai contoh,kebanyakan pemilik telefon tidak mencari telefon terbaik di pasaran tetapi memadai dengan kenderaan yang boleh dipercayai.
Konsep keluaran boleh menghasilkan myopia pemasaran kerana terlalu menekankan kepada keluaran dan bukannya penyelesaian masalah yang dicari pengguna.
#3-Konsep Jualan
Teras utama di bawah konsep ini ialah pengguna tidak akan membeli atau memiliki sesuatu produk kecuali organisasi pengeluaran tersebut berusaha menjalankan promosi dan usaha jualan yang agresif.
Bagi organisasi yang mengamalkan konsep ini, mereka memerlukan dana ataupun wang yang banyak untuk melakukan program-program promosi, termasuklah menggunakan teknik jualan keras.
Sebagai contoh, individu yang menunjukkan kegemaran terhadap sesuatu produk makanan akan digesa untuk membuat keputusan pada masa itu juga untuk mengelakkan daripada produk itu dijual kepada orang lain.
Organisasi akan menggunakan banyak wang untuk mempromosikan keluaran produk makanan melalui media elektronik, cetak dan lain-lain lagi kerana pengurusan mempercayai bahawa pelaburan ini akan menghasilkan jualan. Segala kelemahan keluaran disorok bagi menghasilkan jualan dan kepuasan pengguna selepas jualan diabaikan.
#4-Konsep Pemasaran
Konsep ini beranggapan bahawa pencapaian matlamat sesebuah organisasi bergantung kepada penentuan keperluan dan kehendak pasaran sasaran dan penyampaian kepuasan dengan cekap dan berkesan berbanding pesaing. Ianya lebih menekankan kepada keperluan, citarasa dan kepuasan hati pembeli.
Contohnya, sebelum syarikat Perodua mengeluarkan kereta baru mereka iaitu Myvi, mereka terlebih dahulu mengkaji berkenaan keperluan dan kehendak pengguna, citarasa pengguna, pendapatan pengguna dan sebagainya.
#5-Konsep Pemasaran Kemasyarakatan
Konsep ini memerlukan pemasar untuk mengambil berat tentang hal-ehwal dan kebajikan pengguna dan masyarakat. Ia memerlukan organisasi untuk memahami dan memuaskan kehendak pengguna melalui cara yang terbaik bagi pengguna dan masyarakat dalam jangkamasa panjang.
Apa yang jelas, eksekutif pemasaran mestilah bertindak dengan cara yang lebih berkesan dan bertanggungjawab terhadap masyarakat jika mereka mahu berjaya dan syarikat mereka terus hidup. Contoh biasiswa yang diberikan oleh syarikat Petronas kepada mereka yang berkelayakan merupakan salah satu sumbangan mereka di dalam menjaga kebajikan masyarakat.
Sumber 5 Cara Perkembangan Konsep Pemasaran Dalam Perniagaan