Dalam sebuah buku bertajuk “Pengaruh: Psikologi Kesinambungan”, Dr. Robert Cialdini mendedahkan beberapa konsep psikologi yang berkaitan dalam persuasi. Ternyata strategi pemasaran yang memfokuskan tentang sisi psikologi manusia terbukti lebih efektif.
Sebelum anda memasarkan sesuatu produk atau perkhidmatan, anda perlu tahu bagaimana seseorang pembeli itu membuat pembelian supaya anda dalam merangka strategi yang baik untuk produk yang dijual.
Sekiranya ini dapat dilakukan, sudah tentu segala strategi kita akan dapat ditumpukan ke arah cara pembelian tadi. Bagi jenama-jenama besar, mereka menggunakan kepakaran teknologi seperti perisian pendengaran sosial atau social listening dan juga data analitik, dalam pencarian mereka.
Kaedah ini akan dimasukkan ke dalam kempen-kempen yang bakal mereka wujudkan selepas itu. Ini sedikit sebanyak akan menjanjikan kejayaan kerana mereka tahu di mana dan bagaimana untuk memanipulasi soft-spot bakal pembeli.
Bagi jenama kecil, tidak mengapa sekiranya anda tidak mampu menggunakan kaedah yang berteknologi tinggi. Anda boleh menggunakan lima elemen psikologi ini untuk membantu strategi pemasaran yang ada.
#1-Berjanji Tentang Keberkesanan Produk
Selalunya, peniaga akan menjanjikan hasil yang maksimum apabila pembeli berjaya menggunakan produk mereka dalam jangka masa pendek atau panjang. Hasil yang dianggap lumayan itu akan mengaburi pembeli untuk turut serta dalam menikmati janji-janji yang dibuat peniaga.
Ayat-ayat seperti pembeli pasti kurus, pasti sihat, tiada lagi masalah berat badan, tiada lagi masalah kulit kusam, tiada lagi masalah bau badan, anak lebih pintar, kebaikan yang berganda semua ini akan terpampang di bahan-bahan pemasaran produk keluaran mereka.
Kaedah sebegini dianggap berjaya memancing pembeli untuk mendapatkan produk dengan kadar segera tanpa memikir panjang keberkesanan terhadap diri pembeli kerana tuntutan zaman sekarang yang ingin sempurna dari atas hingga bawah membawa kepada lambakan produk yang dijual.
#2-Bimbang Tentang Kehilangan
Para pembeli akan memberikan reaksi yang pantas sekiranya anda memberitahu mereka yang risiko kehilangan tertentu mungkin bakal berlaku jika produk atau perkhidmatan anda tidak dibeli segera.
Contohnya ialah produk kecantikan dan perlindungan insurans atau takaful. Pembeli sentiasa prihatin terhadap diri dan keluarga mereka. Apabila pembeli dikhabarkan tentang kepentingan sesuatu produk dan risiko jika tidak mengambilnya, pembeli akan sentiasa memikir tentang perkara tersebut dan akhirnya pembeli memilih untuk mendapatkan produk tersebut untuk jangka masa panjang.
#3-Kesihatan
Nikmat sihat itu tidak ternilai dengan wang berjuta. Rentetan kehidupan zaman kini yang menjadikan kesibukan berkerjaya di hadapan membuka peluang kepada peniaga-peniaga produk kesihatan menempatkan produk mereka untuk mengatasi nilai kesihatan.
Kesibukan yang melampau dan had masa menjadikan pembeli cuba untuk mendapatkan produk kesihatan sebagai langkah mudah untuk mengekalkan dan menambahkan kesihatan yang sedia ada.
Hal ini kerana lambakan iklan tentang produk kesihatan bergantung kepada jenis kondisi badan pembeli membuatkan pembeli sentiasa memikir untuk kekal aktif dan sihat sepanjang masa dibantu dengan produk sebegini dan tidak mustahil ia akan dibeli tanpa berfikir panjang oleh orang ramai sekiranya ada dijual di mana-mana.
#4-Kekayaan
Sesiapa pun mahukan kehidupan yang lebih baik apabila melibatkan subjek kewangan. Malah dengan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu kini, pendapatan tambahan sering menjadi tumpuan sesiapa sahaja.
Jadi sekiranya anda menggunakan elemen psikologi ke arah kekayaan, ia pasti akan menarik sesiapa sahaja kerana mereka amat memerlukannya untuk menampung kehidupan seharian mereka melalui produk atau perkhidmatan yang anda sediakan.
#5-Keselamatan
Tidak kira sama ada keselamatan diri kita sekeluarga secara fizikal, keselamatan identiti kita secara dalam talian dan juga keselamatan aset-aset kita, ini semua amat penting untuk kita pastikan agar mereka tidak jatuh ke tangan orang yang tidak sepatutnya.
Jadi sekiranya produk atau perkhidmatan yang anda sediakan mampu menjanjikan keselamatan kepada kesemua ini maka ia pasti akan membantu menambahkan ciri-ciri keselamatan yang ada.
Sumber 5 Elemen Psikologi Pemasaran Bantu Lonjakkan Jualan