Aishah bukan robot, Amanah ulas pegawai Rosmah

Setelah lama tidak aktif, penyanyi veteran Aishah muncul juara program realiti Gegar Vaganza (GV4) Ahad lalu. — Foto oleh Yusof Mat IsaSetelah lama tidak aktif, penyanyi veteran Aishah muncul juara program realiti Gegar Vaganza (GV4) Ahad lalu. — Foto oleh Yusof Mat Isa

KUALA LUMPUR, 20 Dis — Juara nyanyian realiti Gegar Vaganza (GV4) Aishah bukan robot tetapi juga insan seni yang ada hak bersuara dalam isu negara.

Mengulas kenyataan seorang pegawai isteri perdana menteri, Parti Amanah Negara (Amanah) mempertahankan penyanyi veteran itu terlibat dalam politik. 

“Artis bukan mesin dan robot seni yang hanya diambil kira pandangan sebagai penghibur dan industri hiburan semata-mata.

“Mereka adalah insan rakyat yang juga punya kemuliaan dan kebebasan bersuara,” kata ketua penerangan Wanita Pakatan Harapan (PH) Aiman Athirah Al Jundi. 

Datuk Rizal Mansor, pembantu khas Datin Seri Rosmah Mansor, mengucapkan tahniah kepada Aishah tapi menasihatkannya agar tidak dipergunakan Amanah. 

Rizal menyifatkan Amanah terdesak jika mengandaikan kemenangan Aishah boleh membantu parti gabungan PH itu menjelang pilihan raya, lapor Astro Awani. 

“Tidak kisahlah sama ada menjadi liabiliti atau aset kepada Amanah, harap badut-badut politik dari Amanah tidak menggunakan populariti artis untuk meraih perhatian dari rakyat atau untuk menarik pengundi muda.

“Apakah dengan terus menjadikan artis sebagai ayam tambatan mereka boleh membantu menyelesaikan masalah rakyat, boleh ringankan beban yang Amanah  dakwa ditanggung oleh rakyat selama ini,” katanya semalam.

Aishah, atau Wan Aishah Wan Ariffin, muncul juara GV4, sebuah program Astro, hujung minggu lalu menewaskan lima finalis lain menerusi lagu All By Myself

Penyanyi yang popular pada akhir 1980-an dan awal 1990-an itu menjadi calon PAS pada pilihan raya umum 2013 sebelum terlibat menubuhkan Amanah pada 2015. 

Aishah, kini ahli jawatankuasa Amanah, tewas di kerusi parlimen Jempol, tempat kelahirannya, di tangan Tan Sri Isa Samad, bekas pengerusi Felda.

Dalam kenyataannya hari ini, Aiman Athirah menjelaskan penyanyi itu bukan ahli biasa atau pemimpin peringkat rendah yang layak dituduh alat pembangkang. 

“Aishah turut merupakan pimpinan peringkat nasional. Kedudukan beliau di situ adalah kerana keupayaan serta kekuatan idea dan karisma kepimpinannya. 

“Aishah secara peribadi bukan saja memiliki bakat seni yang hebat, bahkan bakat kepimpinan, idea serta ideologi perjuangan yang baik untuk Malaysia,” katanya, yang juga seorang pemimpin Amanah. 



Sumber Aishah bukan robot, Amanah ulas pegawai Rosmah

Post a Comment

Previous Post Next Post