Kompany kembali kukuh benteng Man City

MANCHESTER: Kapten Manchester City Vincent Kompany dijangka dapat beraksi bagi perlawanan menentang Crystal Palace, Ahad ini selepas pengurus, Pep Guardiola berkata kecederaan yang diperolehnya ketika melawan Newcastle United tidak serius.

Kompany yang dipalit beberapa siri kecederaan sejak dua tahun lalu terpaksa digantikan selepas 10 minit permainan di St James' Park, Rabu lalu yang menyaksikan City menang 1-0 sekali gus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan 15 mata.

"Kecederaan Vincent tidak sebegitu teruk seperti yang kami sangkakan," kata Guardiola. "Dia akan bersedia bagi perlawanan berikutnya.

"Kami akan benar-benar mengetahuinya esok tetapi ia bukannya isu yang besar."

Guardiola turut menambah Fabian Delph juga cergas untuk bermain di Palace tetapi pertahanan John Stones yang tersisih berikutan kecederaan hamstring tidak bersedia untuk bermain selama 90 minit.

"Fabian tidak cergas ketika melawan Newcastle, tetapi dia jauh lebih baik ketika ini. Kita akan lihat. Kes Fabian agak sama seperti Vincent dan dia mengetahui badannya.

"John Stones juga semakin baik. Saya fikir dia akan cergas bagi perlawanan selepas ini (Watford) dan ia berita yang besar bagi kami."

City sudah membuat rekod dengan memenangi 18 perlawanan liga berturut-turut yang dibantu prestasi menakjubkan pemain tengah Kevin de Bruyne dan pemain sayap, Raheem Sterling.

Begitupun, Guardiola menegaskan sumbangan pertahanan Nicolas Otamendi sebagai kunci kejayaan kelab kendaliannya ketika ini. - REUTERS



Sumber Kompany kembali kukuh benteng Man City

Post a Comment

Previous Post Next Post