Bertindak hasil maklumat daripada orang awam yang curiga dengan status halal produk yang dikeluarkan kilang itu, sepasukan penguatkuasa KPDNKK Seberang Perai Utara (SPU) bersama pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menyerbu premis berkenaan kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.
Ketua Cawangan KPDNKK SPU Zalina Aziz berkata ketika serbuan ke atas kilang itu terdapat beberapa pekerja sedang membungkus mi dan kuetiau menggunakan plastik tertera logo halal.
Katanya siasatan awal mendapati produk mi dan kuetiau yang dikeluarkan premis terbabit dipasarkan sekitar Pulau Pinang."Produk berkenaan dibungkus menggunakan plastik tertera logo halal JAKIM tetapi pemeriksaan awal mendapati premis berkenaan tidak mempunyai sijil halal sah.
"Berikutan itu, kami menyita 175.1 kilogram plastik bercetak logo halal dan 15,600 keping pelekat logo halal dari premis berkenaan," katanya di sini pada Khamis.
Zalina berkata pihaknya turut mengarahkan kilang itu untuk memberhentikan kerja-kerja memproses mi dan kuetiau sehingga siasatan dijalankan selesai.
Katanya siasatan lanjut masih dijalankan dan pihaknya turut mengambil keterangan pemilik premis berkenaan berusia 50-an untuk membantu siasatan.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
-- BERNAMA
Sumber KPDNKK serbu kilang mi dan kuetiau tiada sijil halal sah