Peguam mewakili syarikat itu, Shahrulazwad Ismail berkata, syarikat terbabit tidak pernah merancang untuk melantik apatah lagi menipu Amy Search.
“Pihak syarikat mengetahui isu ini selepas gambar terbabit dipaparkan di Instagram Amy sebelum dilaporkan dalam beberapa media.
“Selepas menyiasat, didapati ia perbuatan salah satu wakil ejen produk ini yang menggunakan khidmat orang tengah untuk mendapatkan gambar Amy memegang produk berkenaan.
“Gambar berkenaan seterusnya diletakkan ‘watermark’ nama dan nombor telefon ejen terbabit sebelum dikongsikan di laman Facebook rasmi kendaliannya. Pihak syarikat kesal dengan salah faham berlaku,” katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini, hari ini.
Hadir, Pengasas NMH Legacy, Datuk Dr Norazlanshah Hazali dan Pengarah urusan NMH Legacy, Datuk Mashita Masri.
Shahrulazwad juga berkata, tindakan Amy itu bukan strategi pemasaran produk mereka seperti didakwa segelintir pihak.
Sebaliknya, perkataan penipuan diletakkan Amy pada gambar itu dan dimuat naik pada IG miliknya menimbulkan pelbagi reaksi negatif orang ramai terhadap syarikat dan produk mereka.
“Ini bukan satu strategi daripada syarikat bagi melariskan produk. Kami ada cara tersendiri memasarkan produk seperti iklan di TV dan radio.
“Syarikat sudah memberi amaran kepada ejen terbabit dan juga kepada semua ejen produk. Malah, ejen ini juga dalam pemerhatian syarikat.
“Diharapkan penjelasan ini dapat menghentikan serta merta semua persepsi dan prasangka buruk terhadap produk dan nama syarikat,” katanya.
Menurut Shahrulazwad, pihaknya terbuka berjumpa Amy atau wakil penyanyi itu bagi menjernihkan lagi keadaan.
Terdahulu, pada Sabtu lalu, Amy berkongsi gambar dia memegang produk yang diletakkan perkataan PENIPUAN di laman Instagram miliknya.
Menerusi keterangan gambar itu, menyeru supaya pengasas atau pemilik produk kesihatan menggunakan saluran yang betul sekiranya mahu menggunakan nama artis.
Menerusi laporan akhbar ini, Amy menjelaskan dia tidak mewakili produk kesihatan itu yang menggunakan gambar serta namanya untuk tujuan promosi.
Sumber Salah ejen kami