Tidak cerdik haramkan buku ― Uthaya Sankar SB

28 DISEMBER ― Saya merujuk kepada tindakan terkini Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku Assalamualaikum: Observations on the Islamisation of Malaysia (2015) tulisan Zaid Ibrahim.

Pada pandangan saya sebagai seorang pengkaji bahasa, sastera, budaya, seni dan agama, tindakan ini merupakan langkah tidak cerdik serta saya melihat tindakan KDN sebagai usaha terancang mengawal pemikiran masyarakat.

Selalunya, KDN berminat mengharamkan buku versi bahasa Malaysia manakala versi bahasa Inggeris tidak dipedulikan. Misalnya, buku Asal-usul Spesis diharamkan manakala The Origin of Species karya Charles Darwin tidak menjadi mangsa.

Saya memiliki senaskhah buku Assalamualaikum dan sudah membacanya dengan penuh minat pada Januari 2016. Pembacaan buku itu menambah ilmu dan pengetahuan saya tentang isu-isu yang diperkatakan.

Langsung tidak timbul soal ‘memudaratkan ketenteraman awam’ atau ‘menggemparkan fikiran orang ramai’. KDN sepatutnya meraikan kepelbagaian pandangan dan hujah ilmiah. Bukannya mengawal percambahan minda dengan menganggap penulis dan pembaca seperti kerbau yang boleh dicucuk hidung dan ditarik ke mana-mana mengikut kemahuan kuasawan.

Sebagai individu yang sudah menghadam buku Assalamualaikum, saya tidak nampak apa-apa alasan yang wajar untuk mengharamkan sekali gus menghalang masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia membaca buku berkenaan.

Saya merakamkan rasa kecewa kerana pihak berkuasa seolah-olah menyalahgunakan kuasa untuk mengongkong minda masyarakat, dan tindakan ini amat bertentangan dengan hak asasi individu untuk menuntut ilmu.

* Uthaya Sankar SB adalah aktivis sastera dan pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan).

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.



Sumber Tidak cerdik haramkan buku ― Uthaya Sankar SB

Post a Comment

Previous Post Next Post