Tribunal tolak rayuan, MyEG diarah bayar RM6.4 juta

MyEG bersama anak syarikat milik penuhnya MyEG Commerce Sdn Bhd didapati melanggar Akta Persaingan 2010. — Picture by Choo Choy MayMyEG bersama anak syarikat milik penuhnya MyEG Commerce Sdn Bhd didapati melanggar Akta Persaingan 2010. — Picture by Choo Choy MayKUALA LUMPUR, 29 Dis ― Tribunal Rayuan Persaingan (CAT) telah menolak rayuan My EG Services Berhad (MyEG) terhadap keputusan Syuruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk mengenakan denda RM2.272 juta kerana dikatakan menyalahgunakan kedudukan dominannya dalam peruntukan dan pengurusan pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dalam talian bagi pekerja asing.

MyCC dalam satu kenyataan hari ini berkata, arahan itu dikekalkan oleh CAT semalam dan selain jumlah penalti sebanyak RM2.272 juta, ada penalti harian tambahan sebanyak RM7,500.

“Oleh itu, setakat 28 Dis, 2017, jumlah penalti yang perlu dibayar oleh perayu adalah RM6,412,200, termasuk penalti harian sebanyak RM7,500 bermula dari 25 Jun 2016 berjumlah RM4,140,000. Bagaimanapun, jumlah tersebut mungkin meningkat jika perayu gagal mematuhi arahan CAT,” kata kenyataan itu.

Pada Jun tahun lepas, suruhanjaya dalam satu kenyataan dilaporkan berkata ia mendapati MyEG, bersama anak syarikat milik penuhnya MyEG Commerce Sdn Bhd, telah melanggar Akta Persaingan 2010 dengan “menyalahgunakan kedudukan dominannya dengan menjejaskan persaingan di pasaran hiliran yang MyEG Commerce bertindak sebagai ejen insurans bagi permohonan pembaharuan PLKS dalam talian.”

MyCC berkata CAT juga telah mengarahkan MyEG supaya berhenti dan menghentikan serta merta daripada mengenakan syarat yang berlainan untuk transaksi yang setara dalam pembelian insurans mandatori untuk permohonan pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara secara dalam talian.

Selain itu, penyedia perkhidmatan e-Kerajaan mesti menyediakan “gateway” yang efisien kepada semua pesaing dan pesaing baharu yang berpotensi dalam pasaran yang relevan bagi penjualan insurans mandatori dan membenarkan pesaing lain bersaing pada tahap yang sama dalam tempoh 60 hari dari tarikh keputusan CAT (28 Disember 2017).

Menurut kenyataan itu, tribunal yang dipengerusikan oleh Tan Sri Haidar Bin Mohd Nor, berpendapat bahawa MyCC adalah betul apabila memutuskan perayu telah menyalahgunakan kedudukan dominan, iaitu perlanggaran seksyen 10(2)(d)(iii) Akta Persaingan 2010, dan oleh itu mengesahkan keputusan Suruhanjaya dan mengarahkan perayu mematuhi arahan-arahan tersebut.

MyCC berkata bahawa Perayu pada hari yang sama telah menyatakan bahawa ia akan memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan CAT.

MYCC, yang ditubuhkan pada Jun 2011, adalah sebuah badan bebas yang bertanggungjawab bagi menguatkuasakan Akta Persaingan 2010, yang dilaksanakan untuk menggalakkan persaingan sihat yang seterusnya akan merangsang produktiviti dan inovasi, lantas mewujudkan pilihan produk ayang lebih banyak kepada pengguna dengan kualiti lebih baik dan harga yang berpatutan. ― Bernama



Sumber Tribunal tolak rayuan, MyEG diarah bayar RM6.4 juta

Post a Comment

Previous Post Next Post