Upko ingatkan Warisan jangan main isu agama

Ketua Pemuda Upko, Arthur Sen mendakwa pemimpin Warisan, Terrence Siambun cuba menghasut penganut Kristia menentang Upko dengan 'hadiah Krismas beracunnya'.

Arthur-Sen-Terrence-Siambun2KOTA KINABALU: Sayap Pemuda Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) menegur Parti Warisan Sabah yang terus menggunakan agama untuk menyerang parti itu.

Ketua Pemuda Upko, Arthur Sen berkata, Bendahari Agung Warisan, Terrence Siambun tiada beza dengan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal yang baru-baru ini menuduh Upko tidak membantu masyarakat Kristian.

“Kenyataan Siambun menunjukkan beliau seorang individu yang tidak teragak-agak menipu demi kepentingan politik. Kesungguhannya menyerang Upko menggunakan sentimen agama menunjukkan Warisan terdesak mendapatkan sokongan rakyat,” katanya kepada FMT.

Sen berkata, Majlis Tertinggi Upko yang dipengerusikan pemangku Presiden, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau sudah menjelaskan pendirian Upko berhubung rang undang-undang meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Malah, katanya, isu itu sudah dijelaskan Setiausaha Agung Upko, Datuk Donald Peter Mojuntin kepada media dan Siambun merujuk satu artikel berhubung perkara itu ketika beliau membuat dakwaan itu.

“Kerjasama Umno dan PAS dalam hal agama sebelum ini, sama sekali isu berbeza seperti melalui himpunan solidariti untuk Rohingya dan membantah keputusan Amerika Syarikat memindahkan kedutaannya ke Baitulmaqdis.

“Kerjasama mereka dalam 2 insiden itu adalah dalam konteks hak agama dan terhad kepada hubungan mereka antara parti dalam dasar antarabangsa.

“Ini tiada kena-mengena dengan pendirian Upko atau BN terhadap Akta 355,” katanya sambil menambah Tangau langsung tidak menjelaskan secara terperinci mengenai Akta 355, tetapi Siambun sengaja memperbesarkan isu itu demi kepentingan politik sendiri.

Beliau berkata, untuk Siambun berbuat demikian ketika musim Krismas jelas menunjukkan adun Moyog itu tidak mengamalkan ajaran Kristian yang mengajar orang beriman saling menghormati.

Sebaliknya, Sen berkata, Siambun membuat tafsiran liar terhadap kenyataan ringkas Tangau untuk menghasut penganut Kristian membenci Upko dengan berkata parti itu menyokong pindaan Akta 355.

“Ini hadiah Krismas beracun Siambun kepada rakyat. Beliau menggunakan taktik itu kerana prestasinya sebagai adun Moyog selama 5 tahun ini teruk. Apa yang beliau lakukan untuk rakyat di kawasannya selain menyebarkan propaganda politik?

“Satu-satunya perkara penting yang beliau pernah lakukan ialah melompat dari PKR ke Warisan,” katanya.

Dalam pada itu, Sen berkata, Mojuntin yang juga ketua Upko Penampang bersama ahli parti di daerah itu sentiasa membantu rakyat.

Beliau mencabar Siambun pergi ke mana-mana kampung di Moyog untuk membuktikannya.

“Jika beliau menafikannya, maka jelas beliau seorang wakil rakyat naif.”

Sen turut mengingatkan Siambun mengenai kenyataannya pada pilihan raya umum lalu ketika beliau menjadi calon PKR, meminta rakyat memberi masa 5 tahun kepada parti pembangkang untuk berkhidmat kepada mereka dan jika gagal berbuat demikian, rakyat bebas tidak menyokong mereka pada pilihan raya umum ke-14.

“Kini, beliau sudah diberikan peluang, tetapi jelas beliau gagal mengotakan janjinya, sebaliknya beliau memutuskan untuk meninggalkan PKR. Jadi, saya rasa sudah sampai masanya rakyat berubah.”


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



Sumber Upko ingatkan Warisan jangan main isu agama

Post a Comment

Previous Post Next Post