UPM lakar banyak kejayaan

KUALA LUMPUR: Universiti Putra Malaysia (UPM) terus membanggakan negara apabila tersenarai di kedudukan ke-25, kategori Sains dan Teknologi Makanan pada Ranking Subjek Akademi Global Shanghai 2017.

Naib Canselornya, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris, berkata kejayaan itu penanda aras kepakaran universiti yang pertama untuk kategori baharu.  

"Kejayaan itu turut melayakkan UPM berada di kedudukan ke-89, Ranking Times Higher Education: BRICS & Emerging Economies," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Aini berkata, kejayaan lain termasuk tersenarai pada kedudukan ke-53, Universiti Terbaik Dunia dalam Sains Pertanian.

Katanya, UPM turut disenaraikan sebagai antara 100 universiti terkemuka dunia untuk bidang Pertanian dan Perhutanan.

"UPM turut mendahului universiti tempatan lain untuk kategori Kampus Hijau Malaysia dengan menduduki tangga ke-27, pada UI-Greenmetric World University Ranking 2017.

"Pada tahun ini, UPM turut disenaraikan sebagai kedudukan ke-229, berbanding kedudukan ke-270 pada tahun lalu, dalam QS World University Ranking 2017/2018," katanya.

Aini berkata, UPM turut diiktiraf enam bintang Penilaian Bersepadu Malaysia untuk Kecemerlangan Kolej Universiti dan Universiti (SETARA 2017) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

"Dalam bidang sukan, 75 atlet UPM meliputi hampir 10 peratus atau 75 peserta kontinjen negara pada Sukan SEA 2017.

"Seorang penyelam pelajar memenangi pingat emas dalam acara platform 10 meter di Fina World Aquatic Championships di Budapest, Hungary, menjadikannya juara dunia.

"Seorang pelajar lain merangkul emas dalam kejohanan Tae Kwan Do Terbuka China Fujian," katanya.

Aini berkata, UPM akan terus mengekalkan kecemerlangan dalam pelbagai bidang pada tahun depan.



Sumber UPM lakar banyak kejayaan

Post a Comment

Previous Post Next Post