Wanita mengandung maut dihempap rak kasut

SHAH ALAM: Seorang suri rumah yang mengandung lapan bulan maut dihempap rak kasut di rumahnya di Seksyen 23, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa, Nor Haslin Harun, 35, dipercayai sedang memeriksa rak kasut yang digantung di bahagian dinding luar rumah.

Suami mangsa, Izrisham Hussin, 36, berkata sebelum ini, Nor Haslin pernah memberitahu keadaan rak kasut itu yang sudah dimakan anai-anai dan kedudukannya yang renggang.

"Selepas makan semalam, Nor Haslin keluar menutup pintu pagar dan saya percaya dia cuba membetulkan rak kasut yang renggang itu.

"Bagaimanapun, rak itu menghempapnya. Ketika kejadian, saya berada di dalam rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Izrisham berkata, dia yakin isterinya itu meninggal dunia di tempat kejadian memandangkan keadaan yang agak parah.

"Saya terus menghubungi hospital kerana melihat bayi yang dikandungkan isteri masih bergerak.

"Bagaimanapun, bayi perempuan itu disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Shah Alam," katanya.

NOR Haslin bersama keluarga pada Aidilfitri lalu. - Foto ihsan keluarga

Nor Haslin meninggalkan tiga anak, iaitu seorang lelaki dan dua perempuan, berusia antara empat hingga sembilan tahun.

Nor Haslin yang berasal dari Negeri Sembilan itu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, kira-kira jam 11 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata siasatan mendapati rak kasut setinggi 2.4 meter itu menghempap kepala mangsa menyebabkan kecederaan parah.



Sumber Wanita mengandung maut dihempap rak kasut

Post a Comment

Previous Post Next Post