Jika dilihat hampir seluruh pelusuk perniagaan di dunia dimonopoli oleh masyarakat Cina. Lambakan produk-produk di pasaran juga kebanyakkannya datang dari negara Tembok Besar itu termasuklah barang-barang keperluan rumah, tekstil dan pakaian, serta peralatan-peralatan IT terkini.
Mereka juga mampu untuk menjadikan sesuatu perniagaan yang bermula hanya dengan kecil-kecilan menjadi lebih maju dan luas. Pendek kata, keistimewaan kaum Cina ini adalah daripada aspek strategi mereka menjalankan perniagaan tersebut.
Hal ini turut menjadikan kaum Cina dipandang begitu tinggi kerana mereka mempunyai kemahiran yang tersendiri dalam menjalankan sesuatu perniagaan yang mereka ceburi.
Buku Rahsia Bisnes Orang Cina ini ditulis oleh Ann Wan Seng membongkar rahsia kejayaan orang Cina. Banyak rahsia mereka yang para usahawan boleh pelajari. Disini Tim Majalah Niaga senaraikan 13 rahsia dan tips bisnes mereka.
#1-Berniaga Adalah Satu Kemahiran Dan Boleh Di Pelajari.
Berbisnes bagi orang Cina adalah bukan satu kebolehan semulajadi. Peniaga tulen tak takut cabaran. Peniaga palsu, cari untung singkat, tak peduli tanggungjawab sosial.
#2-Orang Cina Suka Berhijrah.
Bangsa Cina paling fleksibel, mudah berubah dan menyesuaikan diri dengan apa saja keadaan. Mereka dapat hidup cari makan walau di mana saja mereka berada.
Kepercayaan orang Cina, orang yang berniaga yang sentiasa berhijrah tidak akan dipandang rendah. Malah dunia niaga menjanjikan kesenangan, kemewahan dan kebahagiaan
#3- Tidak Kedekut Dalam Bisnes
Untuk menjadi seseorang yang berjaya dalam perniagaan dan bisnes, mereka selalunya tidak kedekut untuk mengeluarkan perbelanjaan asalkan dapat menarik dan meyakinkan hati pelanggan.
Bagi mereka, pelanggan yang akan membantu mereka untuk mengembangkan lagi perniagaan yang sedang diusahakan. Antara petua yang mereka selalu amalkan dalam perniagaan adalah ‘menjadi peniaga yang mudah dipercayai, mudah berurusan dan tidak cerewet.’
Disebabkan petua ini juga, mereka begitu gigih dan bersungguh-sungguh untuk menarik hati pelanggan dan menjaga pelanggan yang sedia ada dengan sebaik-baiknya.
#4-Jangan Fikirkan Untung Di Awal Bisnes
Dalam falsafah perniagaan orang Cina, peniaga tidak boleh mengharapkan keuntungan sebaik sahaja memulakan perniagaannya.
Keuntungan yang bakal diperolehi bergantung kepada berapa banyak pelaburan yang sudah dilakukan. Peniaga tulen tidak takut pada persaingan dan kerugian.
#5- Siapa Cepat Dia Dapat
Orang Cina menekankan kepentingan ‘siapa cepat dia dapat”. Orang kalah kerana dia lambat bertindak. Konsep perniagaan orang Cina tidak suka ‘makan’ ataupun mencari untung seorang. Mereka tidak digalakkan membolot segala keuntungan dan kekayaan.
Sebaliknya mereka perlu berkongsi segala keuntungan dengan peniaga lain. Kerana bagi mereka, tidak ada peniaga yang boleh hidup seorang diri. Mereka perlu bergantung antara satu sama lain.
#6- Gunakan Prinsip Simbiosis
Konsep perniagaan orang Cina adalah berasaskan prinsip simbiosis iaitu mereka sebagai peniaga saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.
Contoh, sekiranya ada peniaga Cina yang menjual barangan runcit, maka peniaga Cina yang lain akan menjual barangan basah seperti ikan, daging dan ayam serta barangan keperluan yang lain.
Mereka turut bijak mengambil peluang dengan membuka restoran di kawasan tersebut dan akan mendapatkan barang-barang keperluan untuk memasak daripada kedai-kedai yang telah sedia ada di sekitar kawasan tersebut.
Secara tidak langsung, peluang yang mereka ambil ini akan menjadikan perniagaan di kawasan tersebut berkembang kerana adanya sokongan yang kuat dalam kalangan peniaga di kawasan tersebut.
Apabila hal ini terjadi, perniagaan masing-masing akan lebih mudah berkembang dan tidak mudah untuk gulung tikar
#7- Urusan Peribadi Dan Bisnes Tak Boleh Campur
Dalam urus niaga, peniaga perlu tahu membezakan urusan peribadi dengan perniagaan.Kedua-duanya tidak boleh dicampur-adukkan. Orang Cina menggalakkan tawar-menawar sebagai cara memikat pelanggan.
#8- Tegas Dalam Urusan Duit
Peniaga Cina bersikap tegas dalam menguruskan kewangannya. Hasil keuntungan perlu digunakan bagi menjana lebih banyak keuntungan. Wang perlu membuat wang bukannya menimbunkan hutang dan beban.
#9-Jangan Buang Masa
Orang Cina suka bekerja dengan pantas. Mereka tidak suka buang masa. Apabila bekerja, mereka akan memberikan sepenuh tumpuan bagi menjayakannya. Sebab itulah orang Cina bergerak pada kadar yang laju, makan laju dan cakap pun laju. Lebih laju seseorang bertindak, lebih maju perniagaannya.
Pepatah Cina ada mengatakan, “Jika terlalu berhati-hati akan mati”. Bermakna, untuk berniaga kita perlu mengambil risiko. Peniaga perlu berjiwa besar dan jangan terlalu memikirkan kesan tindak tanduknya. Peniaga perlu percaya dan yakin dengan tindakan serta keputusannya. Keraguan hanya akan menimbulkan perasaan was was. Peniaga yang waswas akan TEWAS.
#10- Sentiasa Rajin Berusaha
Orang Cina sanggup bangun pada waktu dinihari dan terus bekerja sampai ke malam hari. Orang Cina adalah bangsa yang suka bercakap. Apabila bercakap,mereka akan bercakap dengan suara kuat. Tetapi mereka selalunya buat apa yang mereka katakan. Cakap mereka bukan cakap kosong tetapi disusuli dengan tindakan.
Dalam falsafah niaga Cina, tidak ada jalan dan cara mudah hendak menjadi kaya. Orang yang mencari untung jangka masa pendek akhirnya akan kecewa dan lingkup.
Jika perniagaan tidak mendapat sambutan ataupun tidak mendatangkan keuntungan, sudah sewajarnya mereka mengkaji dan memperhalusi di manakah kesilapannya, kelemahan serta kekurangannya.
#11- Fokus Kepada Satu Perniagaan Sahaja
Sebelum mengembangkannya kepada bidang perniagaan lain mereka akan berhempas pulas fokus pada satu perniagaan sahaja. Dengan itu mereka dapat menguasai perniagaan itu sehingga sukar orang lain hendak menyainginya.
#12-Perniagaan Itu Merupakan Satu Seni.
Seni berniaga bagi orang Cina sangat halus dan tidak memadai dengan mempelajarinya secara teori. Berniaga perlu praktikal, mampu menguasai kemahiran Sebagaimana seni mempertahankan diri, bidang perniagaan tidak boleh digunakan bagi menganiayai orang lain.
Daya pemikat yang ada pada peniaga Cina adalah antara ciri seni niaga orang Cina yang penting. Mereka akan melebihkan pelanggan dengan menambah nilai ke atas barangan yang dibeli, menyediakan khidmat selepas pembelian
Dalam seni niaga orang Cina, tidak menjadi satu perkara yang memalukan jika seseorang itu mengalah sekiranya dengan melakukan itu, dia akan mendapat peluang yang lebih baik. Mengalah tidak bererti kalah.
#13-Jangan Memanipulasi Keadaan
Orang Cina adalah satu bangsa yang kritikal. Peniaga yang melakukan manipulasi dan menggunakan muslihat akan menerima padahnya.
Peniaga perlu ada rasa ‘sensitif’. Perasaan itu dapat membantu peniaga mengesan sebarang bentuk perubahan yang berlaku. Orang yang ada elemen sensitif ini dapat menghidu peluang dan menukarkan keadaan yang buruk kepada situasi yang menguntungkan.
Sumber 13 Rahsia Bisnes Orang Cina Anda Boleh Pelajari