Adaptasi karya William Shakespeare

SELEPAS meraih kejayaan cemerlang dalam pementasan terdahulu, teater tradisional Mak Yong Titis Sakti kembali dipentaskan kepada umum.

Naskhah arahan Norzizi Zulkilfi ini merupakan sebuah adaptasi daripada karya komedi romantik, A Midsummer Night’s Dream, tulisan William Shakespeare yang digabungakan dalam persembahan Mak Yong.

Terkenal sebagai pengarah dan penggiat seni yang suka bereksperimentasi, Norzizi yakin gabungan karya tradisional dan barat ini mampu menjadi tarikan baru kepada generasi muda untuk mendekati Mak Yong.

“Persembahan teater tradiosinal Mak Yong perlukan pembaharuan dan kelainan agar ia terus hidup dan diterima generasi hari ini.

“Bagaimanapun pembaharuan itu bukanlah bemaksud mengubah struktur dan keasliannya, sebaliknya lebih kepada pendekatan yang lebih segar dari sudut lakonan dan penceritaan yang sesuai dengan masa kini,” jelasnya.

Itulah yang dilakukan Norzizi menerusi pementasan semula Mak Yong Titis Sakti yang sebelum ini pernah dipentaskan di lokasi yang sama pada 2009.

Norzizi mengakui bukan mudah untuk melakukan adaptasi ini kerana perlu mencari naskhah yang bersesuaian dengan struktur penceritaan Mak Yong itu sendiri.

“Midsummer Night’s Dream, mempunyai banyak persamaan dengan Mak Yong seperti kisah raja, karakter supernatural  dan bahasa sastera tinggi digunakan.

“Apabila disatukan ia berjaya menjadi satu naskhah yang sangat menarik dan mampu memberi persepsi baru kepada mereka yang menonton Mak Yong,” katanya.

Jika pada pementasan lalu, Mak Yong Titis Sakti dipersembahkan dalam bahasa Melayu dan Kelantan sepenuhnya, kali ini Norzizi memberi sedikit kelainan.

“Kali ini saya menetapkan dua watak iaitu Putera Raja Iskandar Muda lakonan Safiah Hanifah dan Putera Raja Indera Putra yang dijayakan oleh Elza Irdalynna untuk berbahasa Inggeris bagi umemberi sedikit kelainan kepada naskhah ini.

“Walaupun mereka menuturkan dialog bahasa Inggeris, namun dari segi lenggok dan karakter mereka masih dalam struktur Mak Yong,” ujarnya.

Menerusi petikan persembahan pada majlis pratonton Mak Yong Titis Sakti yang diadakan di KLpac baru-baru ini, ternyata ia merupakan sebuah persembahan yang cukup segar dan menghiburkan.

Tidak hanya pada penceritaan yang ditampilkan, tetapi juga persembahan barisan pemainnya yang sangat baik dan semestinya ia menjadi kelebihan utama buat pementasan ini.

Sebuah pementasan yang mengasyikkan dan mampu memberi tarikan baru kepada penonton mahupun peminat persembahan tradisional Mak Yong.

Mak Yong Titis Sakti yang mengambil latar suasana mistik hutan yang dihuni pari-pari dan makhluk dari kayangan, mengisahkan tentang konflik cinta iaitu cinta yang sempurna, cinta terlarang dan cinta yang tidak berbalas.

Antara yang menjayakan pementasa ini ialah Zamzuriah Zahari, Asrulfaizal Kamaruzaman, Rosdeen Suboh, Safia Hanifah, Elza Irdalynna, Mardiana Alwi, Rosnan Rahman, Siti Farrah Abdullah dan lain-lain.

Mak Yong Titis Sakti terbitan The Actors Studio (TAS) Seni Teater Rakyat ini menemui penonton pada 27 Januari hingga 4 Februari depan di Klpac bersempena sambutan ulang tahun TAS ke-30 tahun depan.



Sumber Adaptasi karya William Shakespeare

Post a Comment

Previous Post Next Post