KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan menang dua emas di Sukan Para ASEAN 2017, pelumba basikal para, Muhammad Afiq Afify Rizan (Afify) dan jurumudinya, Muhammad Khairul Adha Rasol kini memikul tugas berat untuk menang pingat di Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, yang berlangsung dari 5 hingga 8 April 2018.
Berikutan itu, Afify dan jurumudinya kini sedang giat menjalani latihan intensif di bawah kendalian jurulatih basikal para kebangsaan, Mohd Johari Nayan di Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan, Kompleks Sukan Paralimpik Kampung Pandan, Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk memastikan beliau bukan hanya berjaya menaiki podium di Sukan Komanwel, malah layak ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Sebagai permulaan 2018, Afify dan Khairul Adha bakal menyertai Kejohanan Lumba Basikal Trek Para Asia (ACC 2018) di Velodrom Nasional, Nilai dari 16 hingga 20 Februari ini dan Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia UCI 2018 (Kejohanan Dunia) di Rio De Janeiro, Brazil pada Mac depan.
Malah, Mohd Johari, ketika dihubungi berkata biarpun belum menetapkan sasaran sebenar namun beliau yakin gandingan Afifiy dan Khairul Adha mampu meraih podium dalam acara trek di ACC 2018 dan di Rio kerana anak didiknya kini menduduki tangga keenam terbaik dunia, pada Disember lalu.
"Kemenangan di ACC 2018 di Nilai dan kejohanan dunia di Rio amat penting bagi membolehkan Afify dan Khairul Adha mengumpul sebanyak mungkin mata untuk melayakkannya beraksi di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
"Penyertaan di ACC 2018 dan Kejohanan Dunia juga penting bagi membolehkan kita mengukur sejauh mana keupayaan dan pretasi sebenar Afify dan Khairul Adha sebelum mereka menyertai Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia nanti," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.
Pada Sukan Para ASEAN 2017 lalu, Afifi mencipta kejutan apabila menang dua emas dalam acara 1kilometer ujian masa dan pecut membolehkan pelumba basikal para (buta) negara tersenarai di bawah Program Podium kelolaan Institut Sukan Negara (ISN) 2018.
Dalam pada itu, Mohd Johari juga mengesahkan Malaysia tidak bercadang menghantar pelumba basikal negara ke Kejohanan Lumba Basikal Para Lebuhraya Asia 2018 di Myanmar mulai 6 hingga 12 Februari depan kerana ia tidak menawarkan sebarang mata untuk kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Berikutan itu, Mohd Johari berkata pihaknya berharap semua atlet basikal para negara dapat memberi sepenuh perhatian kepada ACC 2018 di Nilai dan kejohanan dunia di Rio, bulan depan untuk cuba menaiki podium dan mengutip sebanyak mungkin mata ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Sumber Afify, Khairul Adha idam podium di Sukan Komanwel 2018