Rosmah yang juga penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata bagi tujuan itu tenaga pengajar di akademi tersebut disaran menjalankan kajian komprehensif dalam mengenal pasti kekurangan dan memperbaiki teknik permainan pemain untuk menjadi juara dunia.
"Saya tengok tahap badminton di negara-negara lain telah meningkat. Itu salah satu perkara yang harus kita selidik dan membuat kajian mengapa mereka boleh menaik taraf dan bagaimana cara pemain badminton mereka sehingga boleh jadi juara.
"Sebab itu melalui akademi ini, saya lihat kita ada potensi untuk meletakkan pemain kita ditahap terbaik dunia semula seperti sedia kala. Apa yang mustahak bukan akademi sebaliknya pemain mempunyai hati untuk menjadi juara," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang Liga Remaja Kebangsaan AirAsia BAM 2017 di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Rosmah mahu ibu bapa memberi dorongan sepenuhnya kepada anak-anak untuk menjadi yang terbaik dalam setiap aktiviti yang diceburi.Katanya usaha itu dapat membantu melahirkan lebih ramai generasi berguna dalam pelbagai bidang sekali gus membantu mengangkat nama Malaysia di mata dunia.
Pada majlis itu, Rosmah turut melancarkan lagu rasmi BAM bertajuk 'We are the champion' hasil ciptaan Datuk Wah Idris dan lirik oleh Presiden BAM Datuk Seri Norza Zakaria.
Sementara itu Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata program badminton di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) akan dipindahkan ke Akademi Badminton Malaysia dalam usaha mengenal pasti bakat pemain muda dalam sukan itu.
"Pemain terbaik akan ditempatkan di sini. Mereka akan tinggal, belajar, berlatih dan bermain di sini dan mereka akan menjadi juara menerusi program ini.
"Saya juga maklumkan kepada Datuk Seri Norza kita mesti mewujudkan ekosistem yang diperlukan untuk melahirkan juara dari akademi ini.
"Tak guna kita hanya ada bangunan, sebaliknya di dalam akademi itu juga perlu ada peralatan yang betul, kemudahan untuk mereka menjadi juara.
"Kami akan menempatkan sains sukan yang terbaik di sini di mana Institut Sukan Negara (ISN) akan beri kerjasama untuk bawa ahli psikologi, pakar pemulihan, penganalisis sukan, untuk memastikan supaya latihan keras akan digabungkan dengan sains sukan, supaya atlet kita mendapat kelebihan itu," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka merasmikan akademi tersebut dalam masa terdekat.
-- BERNAMA
Sumber Akademi Badminton Malaysia perlu lebih sistematik - Rosmah