Anak muda tidak tolak tradisi, kenegaraan

SHAH ALAM: Sambutan terhadap Festival GegaRia anjuran Media Prima Berhad (MPB) di Pusat Konvensyen Setia City, di sini hari ini, membuktikan anak muda di negara ini, tidak menolak tradisi atau kenegaraan.

Dua elemen itu berjaya disampaikan melalui pendekatan gaya hidup santai GegaRia menerusi permainan tradisional dan "Throwback Tunnel" yang digabungkan dengan konsep "hipster" kepada ribuan generasi milenia di festival itu.

Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Kamal Khalid, berkata GegaRia adalah inisiatif syarikat untuk memperkenalkan kesemua jenamanya kepada generasi muda.

Katanya, GegaRia adalah inisiatif MPB untuk mewujudkan platform bagi orang muda bersantai secara sihat.

"Pertama, cara kita menarik orang muda dengan sejarah atau legasi Malaysia melalui "Throwback Tunnel".

"Kita paparkan imej zaman 50-an (pameran foto di dalam terowong khas) untuk beri (mereka) konteks pembangunan negara.

"Kedua, (kita mahu) galak anak muda ambil bahagian dalam aktiviti sihat. Kita ada tempat pemeriksaan kesihatan, derma darah, daftar mengundi dan lain-lain. Kita juga adakan aktiviti berunsurkan hiburan petang dan malam ini," katanya kepada BH, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima TV Network, Johan Ishak; Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Yushaimi Maulud Yahaya dan Pengurus Besar Pengiklanan NSTP, Jeannie Leong Lee Eu.

Kamal berkata elemen kenegaraan tidak boleh disampaikan kepada orang muda melalui pendekatan pameran biasa kerana generasi muda tidak suka mengambil bahagian dengan acara bersifat sehala.

Katanya, festival yang menyediakan prop dan struktur kreatif "funky" itu menjadi tarikan golongan muda memuat naik foto dan visual mereka ke media sosial, khususnya Instagram dengan hashtag #GoGegaria #gegariafest.

"Ini cara kita dekatkan jenama MPB dengan golongan muda. Ini percubaan pertama. Alhamdulillah, aktiviti dapat sambutan baik walaupun pagi, cuaca kurang baik," kata Kamal.

Festival GegaRia akan berlangsung sehingga 10 malam ini dengan edisi seterusnya akan diadakan di Plaza Angsana, Johor Bahru pada 3 Februari dan Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 24 Februari.



Sumber Anak muda tidak tolak tradisi, kenegaraan

Post a Comment

Previous Post Next Post