Angah Raja Lawak harap tidak dibandingkan dengan Shuib Sepahtu

SETELAH lebih tiga tahun menumpukan perhatian kepada perniagaan pakaian miliknya, Angah Raja Lawak kini bersedia untuk kembali aktif merencana kerjaya seninya untuk tahun 2018.

Bukan sahaja sebagai pelawak dan pelakon, tetapi Angah mencabar dirinya untuk melakukan sesuatu yang baru apabila bergelar penyampai radio.

Sejak 1 Januari lalu, Angah atau nama lengkapnya Iskandar Shah Hashim menyertai Jepp dan Rahim Sepahtu mengendalikan Segmen Pagi Sinar sekali gus mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Shuib November lalu.

“Alhamdulillah pembukaan yang baik buat saya untuk tahun 2018 di mana saya diberi peluang menjadi  penyampai radio yang telah lama menjadi minat saya sebelum ini.

“Saya tahu ia merupakan tugasan yang cukup mencabar, apatah lagi diberi tanggungjawab untuk mengendalikan segmen pagi Sinar yang mempunyai cukup ramai pendengar.

Insyaallah, saya akan cuba melakukan yang terbaik, apatah lagi rakan-rakan saya iaitu Jepp dan Rahim sangat membantu dalam segala segi sehinggakan saya dapat membiasakan diri di konti dalam tempoh waktu yang agak singkat,” katanya yang menandatangani kontrak bersama Sinar selama dua tahun.

Angah sebelum ini mempunyai pengalaman selama setahun di konti radio mengendalikan segmen carta lagu popular di stesen radio yang sama sekitar tahun 2014.

“Walaupun pernah ada pengalaman di radio sebelum ini, namun cabarannya sangat berbeza dan tidak sama dengan apa yang saya lakukan sekarang.

“Dulu saya hanya bertugas sekali seminggu sahaja untuk segmen carta lagu dan tidak perlu mengambil tahu tentang teknikal dalam konti, tetapi sekarang adalah sebaliknya.

“Segmen Pagi Sinar bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, bermula 6-10 pagi yang memerlukan saya bertugas sebagai penyampai dan dalam masa yang sama perlu mengambil tahu tentang segalanya di konti,” katanya yang menerima tawaran tersebut lebih sebulan lalu.

Angah bagaimanapun berharap agar pendengar tidak membuat perbandingan dirinya dengan penyampai terdahulu, sebaliknya meminta diberikan masa untuk dia membuktikan kebolehan diri.

“Saya faham pendengar semesti akan membuat perbandingan kerana mereka sudah terbiasa penyampai sebelum ini dan saya tidak kisah tentang itu.

“Cuma sebagai orang baru, berilah saya sedikit masa untuk menyesuaikan diri dan memantapkan gaya penyampaikan saya,” kata Angah ketika dihubugi Sinar Harian.



Sumber Angah Raja Lawak harap tidak dibandingkan dengan Shuib Sepahtu

Post a Comment

Previous Post Next Post