Belum masa bersara: SO7

BAND popular dari seberang, Sheila On 7 (SO7) tidak berhasrat berundur meskipun sudah 22 tahun berkecimpung dalam karier muzik.

“Muzik sudah sebati dalam jiwa kami. Tiada yang kami boleh lakukan selain bermain muzik. Lagipun, banyak kenangan manis tercipta.

“Mungkin perancangan Tuhan juga, kami bertemu isteri masing-masing juga menerusi karier nyanyian,” kata pemain bass, Adam Subarkah pada sidang media Konsert Sheila On 7 Live in Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kumpulan yang turut dianggotai Duta (vokalis), Brian Kresno Putro (dram) dan Eross Chandra (gitar) ini juga mengakui tidak mempunyai rahsia untuk terus kekal bertahan hingga hari ini namun mereka bersyukur kerana diberi umur yang panjang.

“Biasalah, bila dah bekerja dalam satu kumpulan, pasti ada saja masalah. Begitu juga kami. Cuma kami dapat selesaikannya dengan baik,” katanya.

Dek pengalaman itu juga, kata Erros, SO7 kini lebih selesa bergerak sendiri tanpa bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman.

“Kami mahu menguruskan kerjaya seni sendiri dan sekarang kami adalah kumpulan indie. Sebelum ini, kami diuruskan Sony Music.

“Dah tiba masanya kami cuba menguruskan sendiri. Pengalaman lama turut mengajar kami untuk lebih mengenali selok-belok dalam industri muzik,” katanya yang turut menganggap kehadiran band baru sebagai satu kepelbagaian buat pendengar.

Rai peminat
Dalam pada itu, SO7 bakal meraikan peminat menerusi konsert Sheila On 7 Live in Kuala Lumpur 2018 di StarXpo Centre KWC Fashion Mall, pada 10 Februari nanti.

Lebih istimewa, band dari Indonesia ini bakal memperdengarkan single terbaru, Film Favorit selepas kali terakhir tampil dengan album Musim Yang Baik pada 2014.

Kata Eross, Film Favorit sangat bermakna buat SO7 kerana mengajak pendengar berfikir secara positif.

“Single ini merupakan hadiah buat peminat yang terus menyokong SO7 sepanjang 20 tahun kami dalam industri muzik.

“Orang muda sekarang mudah mengalah dan jiwa pun tak kental. Jadi lagu ini menasihati mereka supaya tak mudah berputus asa,” katanya.

Jelasnya, fokus SO7 hanya mengeluarkan single sebelum menghasilkan album baru dan belum merancang ke arah itu.

“Mungkin kami kenalkan empat atau lima single dulu dan kumpulkan semua lagu itu dalam satu album,” katanya.

Mengenai konsert, Eross berkata, kumpulan itu akan membuat kepelbagaian dalam pemilihan lagu.

“Kalau sebelum ini, peminat selalu bertanya kenapa tidak main lagu tertentu. Bagi konsert kali ini, selain lagu hit, kami akan menyanyi lagu yang jarang persembahkan sebelum ini,” katanya.

Dalam konsert anjuran Shiraz Project itu nanti, SO7 bakal menyampaikan rantaian lagu popularnya seperti Sephia, Dan, Seberapa Pantas, Melompat Lebih Tinggi dan Pria Terhebat.

Tiket menyaksikan konsert berharga antara RM85 hingga RM315 boleh didapati di www.myticket.asia.



Sumber Belum masa bersara: SO7

Post a Comment

Previous Post Next Post