Bosan Makan Asam Pedas? Ini Lima Menu Paling 'Underrated' Di Melaka!

Bosan Makan Asam Pedas? Ini Lima Menu Paling 'Underrated' Di Melaka!

Ayam percik dan cucur udang ini terletak di daerah Alor Gajah tidak jauh daripada Simpang Ampat. (Gambar: Facebook Cucur Udang Alor Gajah)

Mengikut sejarah, Melaka diterokai oleh seorang putera daripada Sumatera bernama Parameswara. Individu ini telah menjadikan kawasan kecil ini berkembang pesat menjadi pelabuhan terkenal serta pusat persinggahan kapal pedagang dari seluruh benua.
 
Keistimewaan yang terletak pada negeri ‘Hang Tuah’ ini tidak terhenti di situ kerana sehingga hari ini ia kekal menjadi negara bersejarah. Kekayaaan dan khazanah sejarahnya melayakkan negeri ini digelar sebagai bandar raya bersejarah.
 
Bagaimanapun, kekayaan negeri ini tidak terletak pada sejarahnya semata-mata kerana ia juga kaya dengan pelbagai jenis makanan yang lazat.
 
Jika anda pernah berkunjung ke Melaka, mungkin anda dihidangkan dengan jenis makanan yang sama saja iaitu makanan yang agak sinonim dengan negeri ini. Antara yang popular tentunya asam pedas, Klebang Original Coconut Shake, Cendol Bakar dan Roti Canai Kayu Arang.
 
Namun, tahukah anda di Melaka banyak lagi tempat makanan yang boleh dijadikan pilihan utama.

Rojak Daily Skop! senaraikan lima makanan paling ‘underrated’ di Melaka:

1. AYAM PERCIK HUTAN PERCHA

Ayam percik yang dibakar dan disirami kuah yang lazat. 
Orang kata, kalau kedai itu sedap, ia akan dikerumuni oleh pelbagai kaum. Yup! Itulah situasi yang sering dilihat di kedai makan ini.
 
Premis popular ini memang wajib dikunjungi kerana ayam perciknya sangat menyelerakan. Kuahnya saja boleh membuatkan anda jilat jari!
 
Menggunakan resipi original turun temurun, gerai ini sudah bertapak lama di Hutan Percha ini. Apa yang penting, peniaga ini tidak kedekut kuah dan harganya amat murah hanya RM2.50 seketul.
 
Lihatlah gambar ayam percik yang dimasak panas-panas ini, pasti membuatkan anda terliur.
 
Waktu operasi: Jumaat dan Ahad (2.30 petang - 9.30 malam)
Lokasi: Felda Hutan Percha, Kampung Alor Gajah, Melaka.
Telefon: 012-3389715

2. DAPUR RITA
 
Citarasa Singapura kini di Melaka.
Lokasi ini mungkin tidak lagi dilabel sebagai ‘underrated’ kerana ia pernah tular satu ketika dulu dengan masakan tulang merah.
 
Jika anda berkunjung ke gerai ini, pastinya anda merasai sesuatu yang berbeza kerana mereka menyediakan menu masakan Singapura. Malah, ada yang mengatakan ia lebih sedap daripada negara jiran itu sendiri.
 
Antara yang popular adalah tulang masak merah, sup gearbox Singapura, mi goreng merah, kacang pool, mi rebus dan mi rebus ketam Singapura.

Lokasinya terletak di tepi jalan tetapi kesedapan menu yang dihidangkan tidak boleh dipandang rendah!
 
Waktu operasi: Setiap hari kecuali Selasa (5 petang - 1 pagi)
Lokasi: Jalan Duyong, Kampung Bukit Katil, Melaka
Telefon: 017-6047647
 
3. NASI BERIANI HAJI TAMBY

Nasi beriani citarasa Melaka 
Menu ini amat popular di Johor dan tidak dinafikan ia antara paling sedap di Malaysia.
 
Namun, jika anda berkunjung ke Melaka dan sudah muak dengan menu asam pedasnya, mungkin ini piliahan terbaik untuk menikmati menu daripada selatan.
 
Antara menu yang dijual adalah nasi beriani ayam, daging, kambing dan ikan. Selain itu kari ikan jenahak juga menjadi menu istimewa kedai ini.
 
Seperti kata pemiliknya, rasa kari lemak dihidangkan akan mengikat hati anda dan memancarkan wajah kenikmatan seisi keluarga. Anda patut cuba hidangan ini! 
 
Waktu operasi: Setiap hari (9 pagi - 4 petang)
Lokasi: No. 69 Jalan PJ1, Taman Pertam Jaya, 75050 Padang Temu, Melaka.
Telefon: 016-9129 666

4. ROTI JOHN TARIK MAELAMBONG
 
Roti yang dipenuhi dengan keju dan sos istimewa.
Selain menu di atas, Melaka sebenarnya terkenal dengan roti john. Malah, roti john yang dijual di pasar malam juga berbeza rasanya daripada roti john yang dijual di negeri lain.
 
Gerai Roti John Tarik Melambong ini antara yang boleh dikunjungi jika anda mengidamkan satu menu yang ringan tetapi mengenyangkan.
 
Kedai ini menyediakan hidangan roti john berkeju dengan pelbagai pilihan sos mengikut citarasa anda.
 
Lihatlah gambar roti john ini, pasti anda tahu dari mana datangnya nama roti john tarik itu.

Waktu operasi: Setiap hari kecuali Ahad ( 5 petang - 1 pagi)
Lokasi: Hang Tuah Mall, Tapak Restoran Infasha Maju berhampiran CIMB Hang Tuah Mall.
Telefon: 013-6111182

5. CUCUR UDANG ALOR GAJAH
 
Cucur udang ini sangat popular di Alor Gajah!
Sesiapa saja yang menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Lendu pasti kenal dengan makanan popular ini. Malah, ia menjadi makanan wajib jika anda melalui daerah Alor Gajah.
 
Jika anda ke kawasan A'Famosa melalui susur keluar Simpang Ampat, lokasi cucur udang ini hanya sekitar 15 minit daripada lokasi berkenaan.
 
Kelazatan cucur udang ini terletak pada kepelbagaian menu kuih di dalamnya serta sos manis yang diletakkan di atas cucur.
 
Bukan hanya cucur udang semata-mata, malah anda boleh campur dengan beberapa jenis kuih lain termasuk puyuh goreng.
 
Waktu operasi: Setiap hari (11 pagi - 6 petang)
Lokasi: Medan Selera Pasar Menggong, Jalan Dato Dol Said, 78000 Alor Gajah, Melaka.
 



Sumber Bosan Makan Asam Pedas? Ini Lima Menu Paling 'Underrated' Di Melaka!

Post a Comment

Previous Post Next Post