Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengekalkan momentum tinggi di sepanjang hari dan ditutup tinggi, disokong oleh keuntungan saham-saham wajaran tinggi, disokong oleh ringgit yang kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata peniaga.

Pada 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI ditutup pada 1,825.91, meningkat 3.24 mata berbanding 1,822.67 pada penutupan Jumaat, selepas dibuka 2.57 mata lebih tinggi pada 1,825.24.

Indeks bergerak antara 1,824.56 dan 1,827.25 di sepanjang hari.

Kedudukan pasaran secara menyeluruh, rendah dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 685 berbanding 378, manakala 376 kaunter tidak berubah, 384 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 5.40 bilion unit bernilai RM3.33 bilion berbanding 3.93 bilion unit bernilai RM3.28 bilion sebelumnya.

Seorang peniaga berkata, bursa Asia kebanyakannya tinggi hari ini, menerima manfaat daripada prestasi kukuh Wall Street minggu lalu, manakala dolar AS merosot berbanding kebanyakan mata wang utama termasuk ringgit.

Beliau berkata, saham AS meneruskan keuntungan pada Jumaat, dengan mencatat paras tertinggi pada penutupan berikutan musim laporan pendapatan kini kembali, dengan keputusan kukuh bank dan jualan runcit yang tinggi yang mendorong keyakinan pelabur ke atas pertumbuhan ekonomi.

Pada 5 petang, ringgit disebut harga pada 3.9560/9590 berbanding dolar AS, meningkat berbanding 3.9750/9780 pada penutupan Jumaat.

Di papan skor, Indeks FBM Emas susut 18.30 mata kepada 13,204.30, Indeks FBMT 100 susut 15.35 mata kepada 12,847.31, Indeks FBM Emas Shariah susut 47.24 mata kepad 13,660.09, FBM 70 turun 147.46 mata kepada 16,479.70 manakala FBM Ace susut 85.34 mata kepada 6,820.44.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan merosot 0.25 mata kepada 17,210.66, Indeks Perusahaan susut 5.48 mata kepada 3,394.06 manakala Indeks Perladangan susut 13.42 mata kepada 8,124.40.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing kekal pada RM9.85 dan RM20.88, TNB meningkat empat sen kepada RM15.82 manakala Petronas Chemicals menokok 10 sen kepada RM8.18. - BERNAMA



Sumber Bursa Malaysia ditutup tinggi

Post a Comment

Previous Post Next Post