CIMB jangka pertumbuhan ekonomi lebih perlahan tahun ini

KUALA LUMPUR: CIMB Bank menjangka ekonomi negara akan tumbuh 5.2 peratus tahun ini, lebih rendah berbanding jangkaan pertumbuhan 5.9 peratus bagi 2017.

Bank itu berkata momentum perdagangan positif tahun lalu yang didorong oleh pengukuhan harga komoditi serta prestasi sektor pembuatan dan elektrik dan elektronik (E&E) dijangka akan melembap bermula 2018.

Ia turut menjangkakan pertumbuhan pinjaman sektor perbankan kekal mendatar pada 4.0-5.0 peratus bermula 2017 hingga 2020, dan kadar ringgit akan menyusut ke 4.20 berbanding dolar Amerika pada 2019 dan 2020.

CIMB bagaimanapun menjangka kadar dagangan ringgit akan pulih ke 4.05/USD pada 2018 berbanding 4.30/USD pada 2017.

Bagaimanapun, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, CIMB masih berpendapat pertumbuhan KDNK tahun ini masih memadai untuk menyokong pengembangan ekonomi.

“Kami menjangkakan pertumbuhan 5.2 peratus ini dipacu oleh (pengukuhan harga) komoditi, serta sektor pembuatan dan E&E.

"Sementara private capital expenditure dan penggunaan kapasiti yang lebih cekap akan menyokong pelaburan infrastruktur,” katanya.

CIMB merupakan antara institusi kewangan besar pertama yang meramalkan pertumbuhan ekonomi lebih perlahan tahun ini.

Pada Rabu, Ambank menjangkakan pertumbuhan 5.5 peratus bagi KDNK negara untuk 2018.

Sementara itu, firma penyelidikan seperti MIDF Research lebih optimis dengan jangkaan prestasi pasaran negara pada 2018.

"Kami jangka aliran masuk pelaburan asing akan berterusan pada 2018, terutamanya selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 selesai kerana ia akan menambah kestabilan di dalam pasaran," kata MIDF dalam laporannya pada Selasa.

Sentimen positif MIDF terhadap 2018 turut dikongsi beberapa pakar ekonomi yang ditemu bual Astro AWANI.

"Bursa Malaysia mungkin menyentuh paras 1,900 hingga 2,000 mata tahun ini," kata Shan Saeed, Ketua Pakar Ekonomi IQI Global kepada Astro AWANI pada Selasa.

Shan menjangka momentum positif 2017 juga akan menolak naik harga minyak dunia kepada setinggi AS$87 setong dan pertumbuhan KDNK negara ke julat 4.8 ke 5.4 peratus.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr Afzanizam Abdul Rashid berkata Bursa Malaysia juga dijangka mendapat manfaat daripada pergerakan positif ringgit tahun ini.

"Keuntungan tukaran asing akan memainkan peranan penting dalam menentukan pulangan bagi pelabur asing. Jadi hala tuju ringgit adalah faktor penting yang akan menentukan aliran masuk dana ke Bursa Malaysia tahun ini," katanya.

Afzanizam menambah ringgit juga mempunyai potensi kenaikan yang tinggi tahun ini, memandangkan mata wang tempatan itu masih dinilai lebih rendah daripada sepatutnya.

"Dengan kadar tukaran sekitar RM4.03 or RM4.05 berbanding dolar Amerika kini, ringgit masih lagi jauh dengan purata jangka panjang sebanyak RM3.51/USD yang direkod dari Julai 2005 sehingga hujung 2017," katanya.

Pada Khamis, ringgit ditutup pada 4.0075/USD, kadar tertinggi sejak 22 Mac 2016.

Manakala indeks FBM KLCI di Bursa Malaysia ditutup 10.66 mata lebih tinggi pada 1,803.45 mata.



Sumber CIMB jangka pertumbuhan ekonomi lebih perlahan tahun ini

Post a Comment

Previous Post Next Post