CWP platform kongsi maklumat serantau

KUALA LUMPUR: Sasaran 30 peratus penyertaan wanita di Parlimen dan pembabitan dalam politik tidak hanya menjadi agenda di Malaysia, malah turut dilaksanakan di negara Komanwel.

Pengerusi Anggota Parlimen Wanita Negara Komanwel (CWP), Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata perkara itu membuktikan negara Komanwel komited mahu lebih ramai wanita terbabit dalam politik dan perundangan.

Katanya, kemenangannya secara undian itu pada 16 Disember 2016 bagi tempoh tiga tahun ini, sekali gus membuktikan keyakinan negara luar terhadap kemampuan Malaysia dalam pelbagai aspek.

"Menerusi platform CWP, anggota Komanwel akan saling bertukar maklumat dan menyelaras program kerja serantau dalam mencapai persefahaman politik, undang-undang dan perkara lain.

"Pada peringkat negara pula, pelantikan sebagai terajui utama CWP ini akan menaikkan semangat untuk menarik lebih ramai perwakilan wanita ke dalam Parlimen, sekali gus menjadikan institusi berkenaan lebih sensitif gender, selain mengimbangi penyertaan antara keduanya," katanya ketika dihubungi BH.

Dr Noraini dilantik sebagai pengerusi berkuat kuasa pada 16 Disember 2016 bagi tempoh tiga tahun, menyifatkan ia selari dengan matlamat penubuhan CWP pada 1989 yang bermatlamat meningkatkan bilangan wakil rakyat wanita.

Katanya, pelantikannya satu penghormatan terhadap negara yang memperoleh 53 undi, mengetepikan tiga calon lain iaitu Joyce Watson dari Wales yang meraih 15 undi, Poto Williams dari New Zealand dengan 10 undi dan Linda Reid dari Kanada yang mendapat sembilan undi.

Pencalonan beliau dibuat wakil Uganda yang juga penyandang jawatan Pengerusi Ahli Parlimen Wanita Komanwel, Rebecca Kadaga dan pencalonannya disokong perwakilan Singapura.

Tingkat penyertaan wanita

Katanya, fungsi CWP antara lain adalah untuk mengukuh dan meningkatkan penyertaan wanita anggota Komanwel sebagai wakil kerajaan dan masyarakat yang berkaliber, efektif dan berketrampilan di negara masing-masing.

Ahli Parlimen Parit Sulong itu berkata, ketika ini hanya 10.81 peratus atau 24 daripada 222 Ahli Dewan Rakyat adalah wanita, manakala di Dewan Negara, iaitu hanya 10 peratus ahlinya adalah wanita.

"Pelantikan ini pengiktirafan kepada negara dan rantau Asia Tenggara yang diharap menarik kerajaan mencalonkan lebih ramai wanita pada pilihan raya umum (PRU) akan datang dan mencapai sasaran wanita dalam politik sebanyak 30 peratus," katanya.

Katanya, CWP disertai negara rantau Asia Tenggara iaitu diwakili Malaysia dan Singapura, selain negara anggota lain iaitu Australia, India, New Zealand dan Pasifik, Asia, India, United Kingdom (UK) dan Wales, Afrika dan Kanada.

"Daripada sembilan rantau berkenaan, ia menjadikan keseluruhan 10 wakil ahli parlimen wanita yang berada dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Ahli Parlimen Wanita Komanwel (CWP).

"Jawatankuasa ini bermesyuarat setiap tahun sebelum Persidangan Parlimen Komanwel bagi mendapat persetujuan program kerja bagi tahun berikutnya," katanya.

Katanya, program lainnya, termasuk Persidangan CWP Persemakmuran Pan-Komanwel, Persidangan Parlimen Komanwel bertemakan Keganasan Politik Terhadap Wanita yang berlangsung pada Disember 2016 di London, UK.

"Persidangan terbabit memberi peluang kepada peserta mendapatkan pemahaman menyeluruh mengenai CWP, inisiatif negara Komanwel dan menyaksikan kemajuan yang dicapai," katanya.

Selain itu, katanya, program tahunan CWP ialah Bengkel Pembangunan Staf Parlimen, Siri Kuliah CPA, Seminar Pasca Pilihan Raya CPA dan Program Asas CPA mengenai Amalan dan Prosedur Parlimen iaitu program yang dilaksanakan dalam talian.



Sumber CWP platform kongsi maklumat serantau

Post a Comment

Previous Post Next Post