LONDON: Harry Kane menambah jumlah jaringannya kepada 27 gol dalam semua kejohanan musim ini apabila meledak dua gol ketika Tottenham Hotspur menang 3-0 ke atas AFC Wimbledon pada aksi pusingan tiga Piala FA, sebentar tadi.
Kelab divisyen tiga, Wimbledon begitupun berjaya mengekang asakan Tottenham yang beraksi di Liga Perdana Inggeris selama lebih 60 minit sebelum Kane membuka tirai jaringan pada minit ke-64 diikuti jaringan kedua peribadinya, dua minit kemudian.
Jan Vertonghen melengkapkan jumlah jaringan dengan meledak gol ketiga tuan rumah di Stadium Wembley pada minit ke-71.
Gol Kane berpunca daripada hantaran baik Moussa Sissoko dengan jaringan keduanya tiba menerusi cubaan yang dimulakan Kyle Walker-Peters sebelum penyerang England itu melakukan gerakan penyudah.
Vertonghen pula meledak gol jarak jauh menarik yang juga jaringan pertamanya buat Tottenham selepas empat tahun.
Wimbledon yang ditubuhkan pada 2002 bagi menggantikan kelab Milton Keynes Dons dan terpaksa bekerja keras untuk mendaki beberapa peringkat liga hampir menjaringkan gol pada babak pertama tetapi rembatan Jimmy Abdou sekadar menggegar palang. - REUTERS
Sumber Dua gol Kane bantu Tottenham singkir Wimbledon