Kejadian berlaku sekitar jam 7.04 malam itu menyebabkan Mohd Mustadzo, 31, yang memandu kenderaan dan pendakwah terkemuka, Mohamad Wadi Annuar Ayub atau dikenali Ustaz Wadi Anuar, 35, yang duduk di bahagian penumpang hadapan parah.
Dua lagi penumpang iaitu, Muhd Hambali Zulkifli, 28, serta ayah kepada Mohd Mustadzo, Mohd Yusoff Ahmad, 62, mengalami cedera ringan.
Mohamad Yaakub berkata, sehingga lewat petang tadi, keadaan kedua-dua penceramah itu dilaporkan masih berada dalam keadaan kritikal.
Katanya, tempurung kepala sebelah kanan milik abangnya disahkan hancur dan dia masih perlu menjalani satu lagi pembedahan selepas mendapati adanya kesan darah beku di bahagian otak kiri.
Sementara Ustaz Wadi Anuar yang patah bahu mengalami pendarahan di hidung dan mulut, meskipun telah sedar namun masih diletakkan di bawah zon kritikal.
Keadaan MPV yang terbabas menyebabkan Ustaz Mohd Murtadzo dan Ustaz Wadi Anuar mengalami parah di kepala sementara dua yang lain, cedera ringan.
“Pembedahan ini memang ada risikonya, namun seluruh ahli keluarga reda dengan ujian dan ketentuan ini.
“Kami pihak keluarga memohon orang ramai berdoa dan minta ALLAH beri kemudahan untuk kesembuhan ke atas Ustaz Mohd Murtadzo dan Ustaz Wadi Anuar,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping, hari ini.
Beliau berkata, kejadian berlaku ketika mereka semua dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani, Kedah.
Kesemua mereka sebelum itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar jam 2 petang selepas pulang dari Acheh, Indonesia.
Ustaz Wadi Anuar terkenal di laman Youtube dan Facebook dengan gaya ceramahnya yang bersahaja hingga tertubuhnya Ustaz Wadi Annuar Fans Club.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kenderaan dinaiki empat lelaki dalam perjalanan ke arah Utara itu didapati terbabas sendiri ke bahagian kiri laluan.
Katanya, tiada tangkapan dilakukan, namun siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pemandu dan kesemua penumpang dikejarkan ke Hospital Taiping untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.
Sumber Empat guru agama kemalangan: Beg udara tak berfungsi