Luqman atau senang dikenali sebagai Fenrir dalam arena maya, tidak meletakkan harapan yang tinggi pada mulanya memandangkan dia baharu saja menghadapi peperiksaan akhir tahun kedua jurusan kewangan di sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tempatan.
“Jujurnya saya tidak sempat berlatih berikutan musim peperiksaan ketika ini. Namun saya bersyukur sebab sudah lama tidak sertai kejohanan seperti ini dan dapat ke final.
“Saya gembira dapat memberi persembahan yang baik tetapi tiada rezeki,” katanya ketika ditemui media selepas perlawanan akhir FIFA 18 pada kejohanan MCG yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.Meskipun Fenrir tewas di tangan pemain profesional Kathireswaran Sugumaran 3-1 dalam kategori itu, dia turut membawa pulang wang tunai RM10,000.
Nama Fenrir mula meningkat naik sejak dia layak ke Piala Kejohanan FIFA Ultimate Team (FUT) di Barcelona yang bermula 26 Januari depan.
Kejohanan ini adalah sebahagian daripada acara utama FIFA eWorld Cup (FEWC) yang dianjurkan oleh EA Sports dan menawarkan hadiah wang tunai RM817,300 kepada pemain.
Fenrir merupakan satu-satunya wakil Asia Tenggara yang layak ke kejohanan berprestij tersebut dan dia tidak mahu melepaskan peluang yang ada.
“Saya melatih diri untuk lebih serius dan fokus ketika bermain. Ibu bapa juga menyokong perjalanan saya ke kejohanan antarabangsa ini asalkan saya mampu seimbangkan pembelajaran saya dan bermain FIFA 18, " katanya.
Jelas Fenrir, dia mahu menjadi pemain Asia pertama untuk bernaung dalam kelab e-sukan gergasi, Hashtag United.
Fenrir bakal berlepas ke Barcelona pada 22 Januari nanti.
Sumber FIFA18: Peperiksaan tidak halang Fenrir pamer aksi cemerlang