Istilah 'haiwan liar' dicadang dihapuskan

KUALA LUMPUR: Kesinambungan hidup haiwan liar, khususnya dari spesis terancam sebenarnya terletak kepada kesedaran orang awam.

Itu yang diluahkan Pengerusi Bioeconomy Corp, Tan Sri Zakri Abdul Hamid, yang berpendapat usaha yang dilakukan pelbagai pihak akan menemui kegagalan jika masyarakat hanya memandang isu ini sebagai perkara remeh.

Menurut Zakri, kesedaran orang ramai tentang keselamatan haiwan liar yang kerap ditemui mati akibat dilanggar kenderaan di lebuh raya, masih di tahap rendah.

Antara usaha yang sudah dilakukan adalah pembinaan jambatan dan terowong khas untuk laluan haiwan liar, selain meletakkan papan tanda khas untuk memberi amaran tentang kehadiran haiwan liar di sepanjang lebuh raya.

Namun semua usaha itu tidak akan berjaya tanpa kerjasama daripada pengguna lebuh raya.

“Paling utama, masyarakat perlu faham bahawa haiwan liar adalah sebahagian dari hidupan bumi. Kita hidup bersama mereka, jadi perlu ada rasa hormat dan menghargai kehadiran mereka.

“Untuk membantu khalayak memahami perkara ini, saya mencadangkan istilah haiwan buas atau liar itu dibuang kerana istilah ini hanya akan menimbulkan kebencian.

“Anggaplah haiwan-haiwan yang melintas jalan ini umpama anak-anak kita yang melintas jalan ketika pulang dari sekolah. Dari situ, akan timbul rasa simpati dalam diri kita dan kita akan lebih menghormati haiwan,” kata Tan Sri Zakri dalam satu temuramah bersama Astro AWANI.

Bukan itu sahaja, beliau juga menggesa organisasi dan badan-badan berwajib agar meneruskan usaha serta kempen kesedaran tentang pentingnya haiwan-haiwan ini kepada ekosistem, sekali gus menyumbang kepada usaha konservasi spesis terancam.

“Sudah tiba masanya untuk kita memulakan satu gerakan atau movement yang dapat memberi kesedaran orang ramai terhadap konservasi haiwan liar.

“Kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan. Kita menghargai usaha yang dilakukan oleh Malaysia Nature Society dan World Wildlife Fund (WWF), tetapi kita berharap lebih ramai akan turun padang bersama-sama.

“Agensi media terutamanya, mempunyai kelebihan dan mampu memulakan kempen yang efektif dalam memberi kesedaran kepada orang awam,” katanya.

Isu kepupusan haiwan liar dari spesis terancam menjadi perbualan susulan beberapa insiden kemalangan yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Paling terbaharu, dua kes berlaku Disember lalu apabila seekor tapir dan beruang matahari mati dilanggar kenderaan, masing-masing di Jalan Gua Musang-Kuala Krai dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2).



Sumber Istilah 'haiwan liar' dicadang dihapuskan

Post a Comment

Previous Post Next Post