KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman sudah merakam percakapan bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad pagi tadi.
Pengarahnya, Datuk Amar Singh Ishar Singh, memaklumkan Isa hadir pada jam 10 pagi di Menara 238, Jalan Tun Razak di sini, namun enggan mendedahkan butiran proses rakaman percakapan berkenaan.
Beliau bagaimanapun mengesahkan ia adalah berkaitan isu penjualan tanah FELDA di Jalan Semarak di sini yang didedahkan BH sebelum ini.
"Pada masa ini (jam 4.30 petang), rakaman percakapan ke atas Tan Sri Isa sudah selesai dijalankan dan kita akan memanggilnya lagi sekiranya ada keperluan.
"Kami (JSJK) juga akan memanggil beberapa individu lain bagi membantu siasatan termasuk pihak FELDA Investment Corp (FIC) dan pemaju tanah FELDA di Jalan Semarak," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Pada 28 Disember lalu, BH melaporkan polis akan memanggil Isa bagi membantu siasatan berhubung isu tanah FELDA di Jalan Semarak.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dilaporkan berkata, kenyataan bekas Pengerusi FELDA itu penting bagi membantu siasatan kes terbabit kerana beliau adalah pengurusan tertinggi agensi berkenaan ketika itu.
Noor Rashid juga dipetik berkata, polis sudah mengambil keterangan lebih lima individu membabitkan pegawai FELDA, pejabat tanah dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), selain ke pejabat tanah bagi menyiasat proses penukaran tanah itu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana penipuan serta pemalsuan dokumen.
Laporan BH Bongkar sebelum ini melaporkan FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi meragukan sejak 2015.
Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila FIC melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.
Berikutan itu, polis menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat transaksi pindah milik tanah yang didakwa mencurigakan itu.
Sumber Isu tanah FELDA Jalan Semarak: Isa beri keterangan