Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang Datuk Abdul Jalil Mohamed berkata kontraktor yang dilantik telah memotong jambatan itu pada hari berkenaan, disusuli dengan membawa masuk bahan yang diperlukan untuk membina jambatan baharu.
"Mengikut tarikh kerja sepatutnya bermula hari ini, tapi kita membuat keputusan untuk bermula lebih awal sebaik sahaja cuaca mengizinkan kerana bimbang masih ada yang menggunakan jambatan itu.
"Ini berdasarkan pemerhatian kerana kisah jambatan itu masih tular meskipun telah dimaklumkan ada laluan alternatif. Ia dilakukan atas faktor keselamatan orang awam," katanya semasa dihubungi Bernama di sini, hari ini.
BACA: Pertaruh nyawa demi ke sekolah: 'Pihak berwajib, tolong segera bertindak'BACA: 'Jambatan maut': Gadai nyawa anak, bapa mohon maaf
BACA: Jambatan maut: "JKR dah lulus, bot pun ada" - ADUN Jelai
Kisah jambatan gantung itu tular pada 2 Jan lepas apabila rakaman video menunjukkan Lutfil Hadi Abdul Jalil, 5, dibantu bapanya Abdul Jalil Sulaiman, 41, menyeberangi Sungai Tanum menggunakan jambatan itu untuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Yonbagi memulakan kelas prasekolah.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kemudiannya berjumpa ibu bapa pelajar itu bagi memaklumkan bahawa kerja membina jambatan baharu sudah dalam perancangan, dengan peruntukan RM462,000 dan dijangka bermula 8 Jan.
Beliau juga memaklumkan jambatan itu telah beberapa kali dibaik pulih selepas runtuh akibat banjir dan kerja baik pulih terbaharu sepatutnya bermula Disember lalu, namun dianjakkan ke Januari kerana mengambil kira musim tengkujuh.
Abdul Jalil berkata jika keadaan cuaca baik, pembinaan jambatan baharu itu dijangka siap pada 18 Mac depan.
Berkaitan kerosakan jalan akibat banjir, beliau berkata JKR negeri masih mengumpul maklumat jalan yang terjejas banjir sebelum anggaran kerosakan dapat dikemukakan untuk kerja baik pulih.
"Kerja mengumpul data kerosakan telah bermula, namun di beberapa tempat ia masih tidak dapat dimuktamadkan lagi kerana banjir belum pulih sepenuhnya," katanya.
-- BERNAMA
Sumber 'Jambatan maut viral' dibina lebih awal dari jadual